ARTIKEL

TELUR ayam dijual di pasar raya hari ini.

Khasiat telur ayam

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SEMUA orang suka makan telur, lebih-lebih lagi telur ayam. Selain mudah diperoleh, telur boleh digunakan untuk membuat pelbagai hidangan yang sedap dan berkhasiat. 

Telur ayam sangat versatil. Boleh dipelbagaikan dalam pelbagai resipi ringkas seperti telur dadar, telur mata atau direbus.

Banyak manfaat untuk kesihatan yang boleh kita dapat dengan makan telur.

Antaranya, ia kaya nutrien. Dua biji telur mampu membekalkan sehingga 82 peratus keperluan harian vitamin D, selain folat, 25 peratus riboflavin (B2) dan 40 peratus selenium. 

Telur juga mengandungi vitamin A, E, B5, B12, biotin, zat besi, iodin dan fosforus yang penting untuk memastikan tubuh kekal sihat dan bertenaga.

Setiap biji telur turut mengandungi kira-kira 6.3 gram protein lengkap dengan sembilan asid amino penting. Protein ini membantu membina dan membaiki otot, tisu serta sel badan dan mudah diserap oleh tubuh.

Dalam masa yang sama, pengambilan telur secara sederhana boleh meningkatkan paras kolesterol baik (HDL). Ia membantu mengekalkan nisbah LDL/HDL yang sihat, berbeza dengan makanan tinggi lemak tepu dan trans yang meningkatkan risiko penyakit jantung.

Bagi yang jarang makan ikan, dua biji telur mengandungi kira-kira 180 mg Omega-3 yang baik untuk kesihatan jantung, otak dan mata. Kuning telur pula kaya dengan vitamin D yang penting untuk penyerapan kalsium, kesihatan tulang, gigi, otot dan sistem imun. Nah, ini antara manfaat makan telur. 

Dalam pada itu, ramai orang juga menggunakan telur dalam masakan harian. Boleh dikatakan, ia antara bahan yang wajib ada di dapur. Tambahan juga, telur ayam antara sumber protein yang mudah didapati berbanding daging, ikan mahupun ayam. 

Sebenarnya, saya makan telur sejak berusia kira-kira empat bulan! Ya, ketika usia belum lagi mencecah setahun, saya sudah makan telur ayam yang dicampur dengan bubur.

Dulu, ibu pernah bercerita, daripada tujuh anaknya, saya satu-satunya tidak cerewet dari segi pemakanan. Ketika mendengar pendedahan itu, saya tersenyum gembira kerana tidak menyusahkan ibu ketika bayi. 

Saya bertanya lanjut mengenai perkara itu kepada ibu. Menurut ibu, dulu ibu ada membela seekor ayam daging atau yap kina atau yap karen panggilan dalam bahasa Kenyah. Ayam betina ini akan bertelur sebiji setiap hari. Telur itu menjadi lauk bubur saya.

Ada hari, bubur telur ayam ini dicampur dengan sayur (abek) dan ada hari dicampur dengan bayam. Ibu biasanya akan menyediakan pelbagai jenis sayur untuk bubur itu. Yang pasti, sumber protein bubur itu setiap hari ialah sebiji telur ayam.

Ibu tiada mesin pengisar. Jadi ibu akan memotong halus sayur daun sebelum dimasukkan ke dalam bubur. Apabila bubur hampir masak, pecahkan telur dan tabur secubit garam. Setelah bubur masak, bubur ini akan dilenyek secara manual menggunakan sudu dan penapis sehingga menghasilkan puri nasi. Ibu memberi saya makan bubur dua kali sehari iaitu makan pagi dan makan malam. 

Mendengar cerita ibu, saya tertanya-tanya: Mengapa ibu memilih telur ayam sebagai sumber protein hidangan saya ketika itu?

“Enai, lao lan aki uman… pat bulan, uvan inu pa?” (Ibu, awal juga saya makan… empat bulan, mengapa?)

“Teguk aki tai cek iku ke hospital… misi ke hospital barak, anak bala mesti cukup uman ni’luk utek tiga, tu’ye sekula bok tai ja’au ngen use tiga,” (Semasa saya membawa kamu untuk pemeriksaan bulanan… jururawat di hospital memberitahu, bayi mesti cukup makanan (nutrisi) supaya otak sihat, pandai sekolah bila besar dan badan sihat).

“Tapi uvan inu telu yap enai?” (Ibu, mengapa telur ayam?)

“Aki un se yap karen, yap t nilo se’elung se dau. Telo yap ti aki nek ke bubur o,” (Saya ada seekor ayam daging, ayam itu bertelur sebiji setiap hari. Telur ayam itu saya masukkan ke dalam bubur kamu.) 

“Misi barak, telo yap t tiga untuk iku uman,” (Jururawat memberitahu telur ayam itu bagus untuk kamu)

Disebabkan lidah saya sudah merasai telur sejak bayi, maka tidak hairanlah saya sehingga sekarang saya suka makan telur. Selain telur, kadangkala ibu akan memasakkan saya bubur ikan baung atau bubur daging ayam. 

Bagaimanapun, kedua-dua sumber protein itu sukar didapati kerana keluarga kami tidak mampu membelinya. Manakala dua jenis sayur itu senang didapati kerana ibu ada menanam sayur di tepi bilik rumah sewa kami ketika itu. Menurut ibu, saya makan bubur telur ayam kira-kira setahun lebih. 

Kajian membuktikan bahawa telur ialah makanan semula jadi yang sangat berkhasiat. Ia membekalkan protein lengkap berkualiti tinggi, asid amino penting, vitamin serta mineral yang bertindak membina otot, memberi tenaga dan menyokong fungsi otak dan kesihatan secara keseluruhan.

BERITA LAIN

Jambatan mudahkan perjalanan pulang

Setiap kali musim perayaan tiba, perjalanan pulang ke kampung menjadi antara perkara yang paling dinantikan, terutama bagi mereka yang bekerja jauh dari kampung halaman. Namun,

Peperiksaan medan bina diri

Peperiksaan merupakan salah satu perkara penting dalam kehidupan seorang pelajar. Peperiksaan bukan sekadar mengukur sejauh mana seseorang menguasai ilmu yang dipelajari, malah menjadi medan untuk

BERITA TERBARU