ARTIKEL

GAMBAR FAIL Tun Wan Junaidi bersama-sama Syed Hamzah ketika ditemui media semasa turun padang ke kawasannya.

Khidmat sarat hikmat suku abad

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SELAMA 25 tahun, Setiausaha Sulit Kanannya, Datuk Seri Syed Hamzah Syed Paie menyaksikan dari dekat perjalanan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam dunia pentadbiran dan politik, termasuk detik-detik penting yang menguji pendiriannya dalam memperjuangkan hak Sarawak.

Antara yang paling diingati ialah perjuangan meminda Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang pada satu ketika hampir menyebabkan Tun Wan Junaidi melepaskan jawatannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).

Bagi Tun Wan Junaidi, usaha itu bukan sekadar meminda peruntukan undang-undang, tetapi menyentuh kedudukan dan hak Sarawak dalam pembentukan Malaysia yang perlu dipertahankan melalui proses perundangan dan rundingan di peringkat tertinggi kerajaan.

Begitu tegas pendiriannya sehingga, sebagai langkah terakhir sekiranya usaha tersebut gagal, beliau pernah mengarahkan Syed Hamzah menyediakan draf surat peletakan jawatan.

“Tun Wan Junaidi sebelum ini perlu membentangkan cadangan pindaan MA63 sebanyak tiga kali sebelum ia diterima. Saya masih ingat, semasa mesyuarat kabinet kali ketiga, Tun berkata kepada saya, ‘Hamzah, sediakan surat peletakan jawatan saya. Kalau kabinet masih tidak bersetuju kali ini, saya akan meletakkan jawatan serta-merta.’ Surat itu memang sudah saya sediakan,” dedah Syed Hamzah.

Menurutnya, ungkapan itu disampaikan dengan tenang tetapi sarat dengan ketegasan kerana bagi Tun Wan Junaidi, perjuangan untuk hak Sarawak menerusi MA63 mengatasi kepentingan jawatan yang disandang.

Usaha itu akhirnya menyaksikan pindaan berkaitan MA63 diluluskan sebelum suara di Dewan Rakyat pada Disember 2021, sekali gus menjadi titik penting dalam usaha mengembalikan kedudukan Sarawak seperti yang termaktub di bawah MA63.

“Ini adalah satu kejayaan yang boleh disifatkan sebagai magical touch. Ketika itu, kerajaan hanya mempunyai majoriti tipis empat kerusi di parlimen, sedangkan pindaan Perlembagaan memerlukan sokongan majoriti dua pertiga,” katanya.

Syed Hamzah berkata, Tun Wan Junaidi berjaya memperoleh sokongan hampir semua ahli parlimen terhadap pindaan tersebut. Dalam tempoh kira-kira lapan bulan, beliau juga berjaya meluluskan tiga rang undang-undang yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga. Ia melibatkan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan MA63; RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 1) 2022 berkaitan Perkara 10; serta RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 berkaitan Antiompak Parti.

Syed Hamzah turut menyaksikan sendiri bagaimana Tun Wan Junaidi bekerja dari awal pagi hingga lewat malam bagi memastikan proses tersebut berjaya.

“Bagi memastikan pindaan MA63 berjaya direalisasikan, Tun mengadakan 29 sesi libat urus dalam tempoh kira-kira enam bulan yang melibatkan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak serta pelbagai parti politik.

“Beliau bertemu presiden setiap parti politik bagi memastikan semua pihak benar-benar memahami kepentingan pindaan tersebut dan bersedia memberikan sokongan,” katanya.

Hasilnya, pindaan MA63 mendapat sokongan kesemua 199 ahli parlimen yang hadir tanda sebanyak bantahan.

Namun, di sebalik detik penting itu, Tun Wan Junaidi turut berdepan ujian peribadi paling berat apabila isteri tercintanya, Almarhumah Datuk Seri Feona Sim@Norjanah, meninggal dunia akibat perdarahan dalaman di Borneo Medical Centre, Kuching, pada jam 6.00 petang, 27 Mei 2022.

Syed Hamzah berkata, beliau tidak pernah melihat Tun Wan Junaidi menangis dengan air mata yang menitis tanpa henti seperti pada hari pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Samarahan pada 28 Mei 2022.

Kesedihan itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pegawai terdekat sama ada akan menjejaskan perjuangan yang sedang berjalan.

“Namun, berkat keteguhan jiwa, Tun Wan Junaidi akhirnya bangkit kembali meneruskan langkah dan menyempurnakan perjuangan serta amanah rakyat Sarawak itu dengan penuh kekuatan,” katanya.

Mengimbas lebih dua dekad berk hidmat bersama, Syed Hamzah menyifatkan Tun Wan Junaidi sebagai pemimpin berintegriti yang lebih mengutamakan khidmat profesional daripada cita-cita peribadi.

Antara pesanan yang paling diingatinya ialah: “Hamzah, dalam membantu dan berkhidmat kepada masyarakat, kita mesti mengelak daripada politik. Kita semua sama sebangsa rakyat Malaysia yang wajib kita bantu tanpa mengira bangsa atau fahaman politik.”

Sepanjang berkhidmat, katanya, Tun Wan Junaidi tidak pernah bercakap soal jawatan lebih tinggi, sebaliknya sering berpesan, “Berilah khidmat terbaik dengan ilmu dan semangat.”

Syed Hamzah turut mengingati detik awal menyertai pasukan Tun Wan Junaidi pada 2004 apabila menawarkan diri untuk berkhidmat tanpa gaji.

Ketika itu, Tun Wan Junaidi berkata kepadanya, “Hamzah, boleh. Tetapi saya tiada duit untuk membayar gaji kamu.”

Bagi Syed Hamzah, keikhlasan itu akhirnya ‘dibayar’ dengan curahan ilmu dan pengalaman yang menjadi gaji paling berharga dalam hidupnya.

Tun Wan Junaidi turut menanamkan prinsip profesionalisme dalam bekerja.

“Beliau mendidik saya, kita perlu bekerja sepenuh masa mengikut waktu pejabat dan apabila kita bekerja mengikut sistem itu, barulah dapat melaksanakan kerja dengan lebih efektif,” katanya.

Bagi Syed Hamzah, sumbangan Tun Wan Junaidi bukan sekadar terletak pada pindaan Perlembagaan, tetapi juga pada keberanian memperjuangkan masa depan politik demi mempertahankan hak Sarawak untuk generasi akan datang.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU