KUCHING: Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Sarawak bukan sahaja mahu meningkatkan kesedaran masyarakat untuk mengibarkan Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan, malah memastikan bendera kebangsaan dipasang dan dikibarkan dengan cara yang betul.
Pengarah JaPen Sarawak, Sabri Said berkata, usaha itu penting bagi memastikan semangat cinta akan negara yang dizahirkan melalui pemasangan Jalur Gemilang turut disertai kefahaman tatacara penggunaan bendera yang tepat.
Menurutnya, kempen Kibar Jalur Gemilang melalui program JaPen Arena Penggerak Komuniti menjadi antara platform untuk menyampaikan mesej berkenaan kepada masyarakat, termasuk penjawat awam dan komuniti di pelbagai sektor.

“Tujuan kami adalah untuk menyebarkan dan menghebahkan berkenaan Kempen Kibar Jalur Gemilang, ‘Satu Rumah Satu Jalur Gemilang’.
“Matlamat kita adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat, tidak kira sama ada penjawat awam ataupun bekerja di mana-mana, yang penting ialah kibarkan Jalur Gemilang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena Program Penyerahan Kit Satu Rumah Satu Jalur Gemilang sempena Kempen Kibar Jalur Gemilang (KMJG) 2026 bersama JaPen Arena Penggerak Komuniti, di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak di sini, hari ini.
Sabri berkata, masyarakat juga boleh mendapatkan Jalur Gemilang di premis jualan yang menyediakan bendera berkenaan dan seterusnya mengibarkannya sebagai tanda semangat cinta akan negara.
Beliau berkata, matlamat utama kempen adalah untuk membudayakan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.
Sabri berkata, JaPen akan terus melaksanakan program seumpama ini sebagai platform mendekati masyarakat dan menyampaikan mesej berkaitan patriotisme sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan.



