SHANGHAI: Kilang pembuatan mega Tesla di Shanghai, China, dijangka siap dibina menjelang akhir tahun ini, menurut Tesla China, lapor Xinhua.
Kemudahan yang mula dibina pada akhir Mei ini akan dikhaskan untuk pengeluaran bateri penyimpanan tenaga syarikat, Megapack.
Pengeluaran secara besar-besaran dijangka bermula pada suku pertama 2025 dengan kapasiti awal sebanyak 10,000 unit setahun, bersamaan dengan penyimpanan tenaga kira-kira 40 GWh.
Dengan keluasan kira-kira 200,000 meter persegi, kilang baharu ini melibatkan jumlah pelaburan sekitar 1.45 bilion yuan (kira-kira US$201.76 juta), menurut pentadbiran Kawasan Khas Lin-gang Zon Perdagangan Bebas Perintis China (Shanghai).
Kilang pembuatan mega ini adalah yang pertama seumpamanya dibina oleh Tesla di luar Amerika Syarikat dan merupakan kilang kedua syarikat itu di Shanghai selepas pembukaan kilang giganya pada 2019. – BERNAMA



