KUCHING: Petinju prolifik Sarawak, Daeloniel Mcdelon, 24 siap sedia untuk cuba mencipta kejutan pada Kejohanan Tinju Persekutuan Asia 2023 yang akan berlangsung di Thailand pada Khamis (26 Oktober).
Turun sebagai bukan pilihan, anak jati kelahiran Sri Aman itu tekad untuk cuba menampilkan aksi terbaik sepanjang saingan dalam kategori Bantam Weight 54 kilogram.
Dengan misi cuba menumbangkan lawannya iaitu bekas jaguh dunia yang juga petinju tuan rumah (Thailand), Artid Bamrungauea di hadapan penyokong sendiri.
Sekali gus, memenangi tali pinggang utama (ABF) dalam kategori Bantam Weight 54 kilogram.
“Saya tidak menaruh harapan yang tinggi untuk memenangi perlawanan itu kelak, tetapi berusaha menampilkan aksi terbaik. Lawan yang ditentang memiliki rekod yang baik dan merupakan bekas juara dunia,” ujar Mcdelon pada sidang media ringkas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) sebentar tadi.
Beliau akui, dengan persiapan dua bulan dilakukannya sebelum ini diharap mampu menghadir tonik terbaik bagi memburu gelaran tersebut.
Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA), Datuk Rahman Lariwoo yakin dengan kemampuan Kilat Boy untuk mencipta kejutan sekali gus menang pada pertarungan itu kelak.
“Berbekal pengalaman serta persediaan selama dua bulan menjalani latihan, saya yakin Kilat Boy mampu mencipta kejutan. Walaupun kita tahu lawannya cukup berpengalaman yang merupakan bekas jaguh dunia,” tegas Rahman sambil berharap Kilat Boy dapat merealisasi keinginannya itu.



