PETALING JAYA: Penyedia perkhidmatan kejuruteraan dan pengurusan anai-anai menyeluruh bersepadu Kilstant Sdn Bhd menyasar untuk mengembangkan operasinya di negara Teluk iaitu Emiriah Arab Bersatu (Dubai), Qatar dan Bahrain selepas berjaya menyelesaikan projeknya di hartanah diraja di Dubai baru-baru ini.
Pengarah, B. Kanishen berkata pihaknya, dengan pengkhususan dalam sistem retikulasi untuk mengurus dan mengurangkan ancaman anai-anai ke atas bangunan, sedang dalam proses menyiapkan projek kedua di Blok Majlis di Dubai untuk Perdana Menteri dan Naib Presiden UAE, Sheikh Mohammad Bin Rashid Al. Maktoum.
“Kami menerima projek untuk memasang sistem anai-anai canggih yang dikenali sebagai Sistem Retikulasi Kilstant untuk bangunan seluas 20,000 kaki persegi pada September 2022,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Sebelum ini, syarikat tempatan Malaysia ini telah diberikan kontrak kawalan anai-anai untuk bangunan Royal Vailla seluas 10,000 kaki persegi di Istana Za’abeel di Dubai dengan sistem retikulasi dipasang pada April 2020.
“Kami menerima kontrak pertama Dubai semasa Perintah Kawalan Pergerakan pada 2020.
Cabaran terbesarnya adalah melakukan perjalanan ke luar negara dan tenaga kerja kerana ahli keluarga takut untuk membenarkan orang tersayang terbang semasa pandemik COVID-19,” katanya.
Selepas berjaya menyelesaikan projek di hartanah diraja, Kanishen kini merancang untuk bekerjasama dan mendapatkan kontrak usaha sama dengan syarikat lain di samping mengembangkan perkhidmatannya di Dubai.
“Kami juga sedang menambah baik kaedah pemasangan kami di Dubai kerana keadaan tanah dan pasir yang berbeza di sana,” katanya.
Kanishen berkata bermula sebagai Syarikat Kilstant White Ants oleh bapanya pada 1975 yang menyediakan perkhidmatan kawalan serangga perosak dan anai-anai di Ipoh, Perak, kini syarikat menjalankan usaha niaga sistem kawalan anai-anai canggih pada 2021 di bawah nama Kilstant Sdn Bhd.
“Secara amnya, kami telah melakukan banyak projek kawalan anai-anai selepas pembinaan untuk sekolah, hospital, hartanah persendirian, kilang dan mahkamah.
Kami kini memfokuskan kerja-kerja prapembinaan dan menawarkan penyelesaian kekal,” katanya.
Syarikat ini juga telah menyiapkan kerja prapembinaan di hospital kerajaan termasuk Hospital Putrajaya, Hospital Baru Seri Aman di Sarawak, dan Hospital Tawau, Sabah.
Beliau menjelaskan pelaksanaan sistem retikulasi Kilstant, yang dipatenkan pada 2013, akan melalui beberapa proses merangkumi perundingan dan reka bentuk; rasuk tanah dan pemasangan; rawatan bawah tanah; pemasangan kotak dan titik suntikan serta suntikan bahan kimia.
“Beberapa ‘tulang ikan’ dibentuk di tengah-tengah lantai untuk menyalurkan racun perosak berlabel kepada anai-anai melalui sistem paip dan dispenser yang dipasang 3.5 kaki hingga 5.0 kaki di antara satu sama lain bagi mengalirkan bahan kimia di bawah tanah sebelum bangunan itu dibina.
“Apabila sistem ini dipasang dengan beberapa dispenser diletakkan di luar bangunan, kami hanya perlu melakukan rutin suntikan semula setiap tahun atau sekali dalam tempoh dua tahun melalui dispenser itu untuk tujuan penyelenggaraan,” katanya.
Mengenai kos pemasangan, Kanishen menjelaskan ia adalah pelaburan sekali sahaja dan harganya bergantung pada saiz bangunan, panjang paip serta bilangan titik suntikan yang diperlukan.
“Kosnya boleh berbeza-beza di antara RM10,000 dengan RM15,000 untuk rumah teres. Ia boleh mencecah sehingga RM45,000 untuk sebuah banglo memandangkan bangunannya lebih luas memerlukan lebih banyak liputan berbanding yang kecil,” katanya.
Beliau berkata permintaan juga semakin meningkat untuk landskap luar.
Lebih ramai pemilik rumah dan pemaju Malaysia diharapkan semakin menyedari mengenai kepentingan mewujudkan penyelesaian kekal bagi mengawal anai-anai di hartanah mereka, katanya.
Beliau berkata ini kerana kerosakan boleh menyebabkan bangunan tidak boleh lagi dihuni jika dibiarkan tanpa penyelesaian.
Polisi insurans rumah am juga tidak melindungi kerosakan yang disebabkan anai-anai, katanya. – BERNAMA






