ARTIKEL

Kisah bekas gelandangan bina madrasah di Lubok Antu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BELIAU bekas gelandangan dan pernah hidup susah malah mengakui sekarang pun beliau bukan orang senan namun ia tidak menghalang lelaki yang digelar Ebit Lew Sarawak ini terus membantu insan yang memerlukan.

Pemilik nama Wan Huzaimi Wan Azami tidak sedikit pun gentar dengan cemuhan kerana baginya, ia sekadar dugaan orang sepertinya yang suka berkongsi dakwah, rezeki dan kebajikan dengan orang memerlukan.

Lelaki berusia 38 tahun itu menghulur bantuan dan dalam masa sama berdakwah kepada penduduk yang kurang pendedahan agama di seluruh negeri ini. Berdepan dan bercakap dengannya membuat saya kagum kerana beliau seorang yang sangat komited, kerja kuat malah tiada masa untuk berehat serta bersama-sama keluarga.

Dalam tempoh yang singkat itu juga, beliau mampu menjadi pengasas serta membina sebuah madrasah dan beberapa pusat komuniti Islam yang memberikan pendidikan agama secara percuma di pedalaman negeri ini.

Lebih menarik apabila Madrasah Darul Uloom Islamiyyah yang dibinanya di Kampung Melayu, Lubok Antu pada tahun 2019 dipenuhi 98 peratus pelajar mualaf. “Ia merupakan sebuah perkampungan kaum Iban. Cuma nama sahaja Kampung Melayu kerana hampir kesemua penduduk di situ beragama Islam – hasil perkahwinan campur.

“Boleh dikatakan daripada 76 rumah di kampung itu, hanya sekitar 10 buah sahaja penduduk asal beragama Islam. “Semasa berpindah ke kampung ini, penduduk mula belajar ilmu agama tetapi kurang kemudahan serta pendedahan seperti tempat dan tenaga pengajar menjadikan mereka tercicir.

“Di situ juga tiada tadika seperti Abim. Jadi saya ambil inisiatif bersama Jawatankuasa Kebajikan Islam Kampung Melayu untuk membina madrasah ini untuk belajar. “Urusan dipermudahkan apabila terdapat bangunan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Lubok Antu yang dapat digunakan secara percuma untuk tujuan tersebut,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.

Menurut Wan Huzaimi, setakat ini madrasah tersebut mempunyai sekitar 80 pelajar – 60 daripada kanak-kanak dan 20 dewasa serta lima tenaga pengajar dari Kuching dan Semenanjung Malaysia. “Kami faham ada golongan dewasa agak malu. Jadi mereka akan ditempatkan di bilik kelas berbeza daripada kanak-kanak, begitu juga bagi lelaki dan wanita.

“Alhamdulillah sambutan memang sangat menggalakkan. Ramai yang terus menyertai kelas kita yang diajar mengikut silibus standard madrasah yang lain di negara ini yang bermula dengan pengetahuan asas seperti akidah dan peringkat seterusnya.

“Malah madrasah ini bukan hanya untuk penduduk kampung tersebut kerana kita turut menerima kemasukan pelajar dari luar secara percuma dan menyediakan makan minum serta pakaian. “Kita juga menerima dengan tangan terbuka sesiapa sahaja mahu belajar ilmu agama,” katanya sambil memberitahu menyediakan peruntukan sekitar RM5,000 sebulan untuk madrasah tersebut.

Berikutan kawasan sedia ada agak terhad Wan Huzaimi berkata, pihaknya sedang membina sebuah madrasah baharu yang bakal menyediakan kemudahan lebih selesa dan dijangka siap pada tahun hadapan.

“Tambahan madrasah sekarang merupakan bangunan tumpang sementara. Jadi saya infaq sebidang tanah seluas 50 kaki x 60 kaki di hadapan rumah saya untuk mendirikan bangunan baharu. “Kos pembinaan sekitar RM150,000 menggunakan duit poket sendiri, sumbangan rakan dan individu lain.

“Ahli jawatankuasa juga membuka satu akaun bank bagi mengumpul dana daripada masyarakat Islam di negeri ini yang sudi menyumbang untuk tujuan tersebut. “Setakat ini kerja pembinaan sekitar 30 peratus. Apabila siap kelak, ia akan mempunyai asrama untuk menempatkan 10 pelajar lelaki, manakala untuk pelajar harian – ia boleh memuatkan 60 pelajar dalam satu masa.

“Perancangannya membuka dua sesi kelas pagi dan petang. Kita juga tidak hadkan umur untuk sesiapa sahaja yang hendak belajar di sini,” katanya sambil memberitahu kelas diadakan dalam talian ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketika ditanya pengalaman mengajar mualaf, Wan Huzaimi berkata, ia sama seperti mengajar kanak-kanak kecil kerana bermula dari bawah. “Kesalahan sebutan itu perkara biasa, kita akan ajar perkara wajib dan asas. Setakat ini, perkembangan sangat baik dan banyak yang sudah pandai sembahyang sendiri, bahkan menutup aurat dengan baik,” jelasnya sambil memaklumkan kampung tersebut terletak kira-kira satu jam perjalanan dari bandar Sri Aman.

Wan Huzaimi berkata, beliau ada menubuhkan pusat komuniti Islam dan surau di beberapa kawasan seperti Kapit, Betong, Miri serta tempat lain untuk mualaf dan mereka yang mahu belajar agama Islam. “Banyak tempat sudah saya pergi, kebanyakan yang kita bantu ialah mereka yang susah dan dibantu Hikmah Sarawak,” tambahnya.

Bercerita sedikit sebanyak mengenai dirinya, Wan Huzaimi berasal dari Kuching namun mengikut keluarga isteri yang berasal dari Sri Aman berhijrah ke kampung tersebut beberapa tahun lalu. Di situ beliau membuka perniagaan kecil dengan menjual burger dan nasi campur bagi menampung kos hidup dan urusan kerja kebajikannya.

“Saya bukan asal orang senang atau berada, sekarang pun belum senang. Tetapi tekad mengerjakan kerja kebajikan dan membantu orang susah membuatkan saya kuat. “Malah saya merupakan anak yatim dan pernah menjadi gelandangan. Juga pernah belajar di sekolah agama pondok di Semenanjung selama tiga tahun.

Tetapi pengalaman inilah yang mematangkan saya. “Jika hendak diceritakan cabaran sepanjang dua tahun terlibat dalam kebajikan, memang banyak seperti tidak cukup duit untuk membantu, pernah satu ketika saya hanya ada RM200 dan masa itu perlu membantu seorang membeli kaki palsu.

“Urusan saya dipermudahkan dan akhirnya dapat membantu individu tersebut, saya percaya semua itu sudah diatur dan ditentukan Allah asalkan niat kita ikhlas,” katanya. Mengenai sejarah awal penglibatan dalam kerja kebajikan dan dakwah, Wan Huzaimi memberitahu lebih dua tahun lalu beliau diberitahu mungkin menghidap kanser. “Ketika sakit, ibu menasihati saya untuk menghabiskan duit yang ada untuk berhijrah ke arah kebaikan dengan membuat kerja amal, membuka madrasah dan bersedekah.

“Alhamdulillah, semakin saya terlibat dalam kebajikan semakin diberikan kesihatan yang baik sehingga hari ini. Saya juga bersyukur kerana setakat ini semua individu dapat dibantu semampu yang boleh walaupun kes dikatakan sukar. “Dalam masa yang sama, saya ada seorang sahabat baik yang sentiasa membantu dan bersama-sama memberi idea, duit dan masa untuk menjayakan semua usaha ini iaitu Alwi Morshidi.

“Malah keluarga, isteri dan anak sangat memahami usaha dan tujuan utama saya ini,” katanya lagi. Untuk mereka terlibat dalam kebajikan dan kerja amal sepertinya, Wan Huzaimi menasihati teruskan usaha dan niat murni tersebut. “Penerimaan dan pandangan seseorang terhadap kita adalah berbeza. Apabila seseorang itu tidak suka dengan kita, apa-apa sahaja yang dilakukan pasti mereka tidak setuju meskipun ditunjukkan bukti kukuh.

“Tetapi kalau mereka suka, mereka akan percaya dengan usaha kita. Jadi teruskan perjuangan dengan niat ikhlas untuk membantu, yang penting Allah menerima amal kita, tambahnya mengakhiri perbualan.

Sebelum ini Suara Sarawak menyiarkan artikel mengenai usaha Wan Huzaimi mengelilingi Sarawak membawa jenazah secara percuma melalui inisiatif Grab Jenazah. Percuma iaitu perkhidmatan menghantar jenazah ke seluruh negeri tanpa bayaran. seluruh negeri tanpa bayaran.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU