ARTIKEL

Kisah Inspirasi Faizal, Graduan Terbaik UiTM Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Kepayahan hidup tidak menghalang anak kelahiran Tawau, Sabah melakar kejayaan apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Graduan Terbaik (AGT) Keseluruhan (Sarjana Muda) pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA Cawangan Sarawak (UiTMCS) Ke-101 hari ini.

Mohd Faizal Jumadil, 25, yang juga siswazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Teknologi dan Pengurusan Perladangan dari Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, berjaya menewaskan ratusan calon lain hasil pencapaian cemerlang dalam akademik, kepimpinan serta penglibatan aktif dalam aktiviti kesukarelawan dan kokurikulum.

Selain itu, pencapaian cemerlang Faizal juga dilakar apabila dia turut menerima AGT Kepimpinan UiTM Cawangan Sarawak (Sarjana Muda) yang sangat membanggakan.

Menurut Faizal, dia bersyukur dengan kejayaan yang diraih itu kerana ia merupakan impiannya sejak dulu lagi.

“Ini adalah apa yang saya ingin capai kerana hasrat saya memang untuk membanggakan ibu bapa dan keluarga yang lain.

“Ibu dan bapa saya sudah banyak berkorban untuk saya sejak kecil hingga sekarang. Saya nampak perjuangan mereka bagi memastikan saya dapat melanjutkan pengajian dan makan setiap hari,” katanya.

Anak bongsu dari tujuh adik-beradik itu berkata demikian ketika ditemui selepas menerima anugerah pada Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-101, Sidang Pertama di Dewan Jubli, UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan hari ini.

Faizal mengakui jalan untuk meraih kejayaan bukanlah mudah, apalagi dari segi kewangan yang turut menjadi cabaran utama ketika dia menuntut di universiti.

Faizal memeluk erat ibu dan bapanya sambil berkongsi kegembiraan selepas menerima dua AGT pada Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-101, Sidang Pertama di Dewan Jubli, UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan hari ini. Foto: GHAZALI BUJANG

“Faktor utama adalah kekangan kewangan. Kadang-kadang perkara ini juga terpaksa dihadapi. Jadi saya akan terus berjimat-cermat dan menjadikan ini sebagai motivasi untuk berjaya.

“Saya bekerja keras, sentiasa berusaha dengan sebaik mungkin untuk mencapai keputusan cemerlang. Kalau hendak berputus asa, saya akan terus mengingati pengorbanan ibu bapa yang menjadi pendorong saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Faizal memberitahu bahawa semangatnya terus kuat apabila dia juga membawa harapan keluarga kerana menjadi satu-satunya anak yang menyambung pengajian di universiti awam.

“Saya satu-satunya dalam keluarga yang berpeluang melanjutkan pengajian di universiti awam. Kakak-kakak saya memang bijak tetapi tidak berpeluang menyambung pengajian akibat kekangan kewangan.

“Sebab itu saya anggap diri saya memikul harapan mereka. Mereka selalu kata mereka ingin belajar macam saya tapi rezeki tidak menyebelahi. Jadi saya tekad, saya mesti buktikan saya boleh berjaya,” jelasnya.

Ketika ini, Faizal sedang berkhidmat sebagai pelatih kadet perladangan di Sime Darby Plantation dan bercadang untuk menimba pengalaman bekerja terlebih dahulu sebelum menyambung pengajian ke peringkat sarjana sama ada di dalam atau luar negara.

Untuk rekod, Faizal merupakan anak kepada pasangan Jumadil Ibrahim, 65, seorang buruh operator jentera manakala ibunya Hasma Ramella, 63, pula suri rumah yang tidak berkesempatan menamatkan persekolahan disebabkan kekangan kewangan.

Jumadil dan Hasma bangga melihat anaknya menerima anugerah semasa istiadat tersebut. Foto: GHAZALI BUJANG

Bagaimanapun, ia tidak menghalang Faizal untuk menggapai impiannya berjaya melangkah ke menara gading hingga meraih kejayaan tersebut.

Dengan anugerah tersebut, Faizal menerima wang tunai berjumlah RM750 dan sijil penghargaan tajaan UiTMCS serta wang tunai bernilai RM1,000 dan sijil penghargaan tajaan Persatuan Alumni UiTM Sarawak (MITSA).

Selain itu, Faizal yang sememangnya aktif dalam pelbagai aktiviti kepimpinan dan kesukarelawanan sama ada di peringkat dalam dan luar universiti turut membolehkannya diumumkan sebagai penerima AGT Kepimpinan UiTMCS (Sarjana Muda) sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM500 dan sijil penghargaan tajaan UiTMCS.

BERITA LAIN

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan

Wilfred cadang laluan PR untuk pakar strategik Sarawak

KUCHING: Laluan taraf pemastautin tetap (PR) khusus bagi tenaga pakar strategik dicadangkan untuk menarik kepakaran antarabangsa dalam industri utama Sarawak, termasuk hidrogen hijau, kecerdasan buatan

BERITA TERBARU

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan