ARTIKEL

Dr Sanib Said ketika berucap pada Program SAMArindok Persembahan Kebudayaan Melayu Sarawak 2026 Siri II: Puisi Melayu Tradisional di Godown Amphitheatre, Tebingan Sungai Kuching.

Kisah Kerajaan Melayu Saribas dan Kalaka diangkat ke pentas moden

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kisah sejarah Kerajaan Melayu Saribas dan Kerajaan Melayu Kalaka kembali diangkat ke pentas moden menerusi Program SAMArindok Persembahan Kebudayaan Melayu Sarawak 2026 Siri II: Puisi Melayu Tradisional yang berlangsung di Godown Amphitheatre, Tebingan Sungai Kuching.

Pementasan berkonsepkan seni persembahan kontemporari itu menampilkan gabungan elemen penceritaan, lakonan dan puisi Melayu tradisional yang dipersembahkan secara kreatif, sekali gus memberi pengalaman seni yang lebih segar kepada penonton.

Program anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) itu berjaya menarik kehadiran ratusan penonton yang memenuhi ruang amphitheatre dengan persembahan yang sarat dengan warna, jiwa dan nilai warisan budaya.

Pengurus Besar AKYBMS, Datuk Dr Sanib Said, berkata usaha memartabatkan dan memelihara warisan budaya Melayu Sarawak memerlukan sokongan padu daripada semua lapisan masyarakat.

MENARIK…. Pementasan kisah Kerajaan Melayu Saribas dan Kerajaan Melayu Kalaka pada Program SAMArindok Persembahan Kebudayaan Melayu Sarawak 2026 Siri II: Puisi Melayu Tradisional di Godown Amphitheatre, Tebingan Sungai Kuching.

“Oleh itu, penggiat seni Melayu Sarawak juga perlu terus memperkukuh kerjasama dalam memperkasa ekosistem seni budaya negeri ini selaras dengan Pelan Strategik AKYBMS 2015–2035, khususnya di bawah teras Agama dan Budaya.

“Usaha ini amat penting dalam memperkukuh identiti Melayu Sarawak serta memperkasa penjenamaan kebudayaan yang positif, selain memastikan warisan seni dan budaya tempatan terus relevan serta diwarisi generasi akan datang,” katanya.

Tambah beliau, pementasan kali ini memberi fokus kepada kisah Kerajaan Melayu Saribas dan Kerajaan Melayu Kalaka, khususnya melalui watak Dang Umbok dan Dang Ukok yang diangkat daripada khazanah manuskrip Melayu Sarawak.

“Kisah ini merupakan sebahagian daripada hasil penyelidikan, penterjemahan dan penerbitan manuskrip Melayu Sarawak yang tersimpan dalam repositori AKYBMS, sekali gus memperlihatkan kekayaan warisan intelektual masyarakat Melayu di negeri ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata SAMArindok turut menjadi platform untuk mengetengahkan bakat generasi muda melalui penyertaan Generasi Baharu Artis Badan Seni AKYBMS yang menyerlahkan potensi dan kreativiti pelapis seni negeri.

MENARIK…. Pementasan kisah Kerajaan Melayu Saribas dan Kerajaan Melayu Kalaka pada Program SAMArindok Persembahan Kebudayaan Melayu Sarawak 2026 Siri II: Puisi Melayu Tradisional di Godown Amphitheatre, Tebingan Sungai Kuching.

“Justeru, penganjuran program seperti ini membuktikan usaha berterusan AKYBMS dalam menghidupkan semula warisan seni pentas Melayu Sarawak.

“Ini melalui pendekatan yang lebih kontemporari, dekat dengan masyarakat serta mampu menarik minat pelbagai lapisan penonton,” tambahnya.

Program SAMArindok seterusnya dijadualkan berlangsung pada 12 September dengan tema ‘SAMArindok Persembahan Kebudayaan Melayu Sarawak 2026 Siri III: Pencak Silat’.

AKYBMS dalam pada itu mengalu-alukan kerjasama strategik daripada pelbagai pihak bagi mempertingkatkan visibiliti kesenian Melayu Sarawak serta memastikan seni persembahan pentas tradisional terus berkembang seiring arus pembangunan budaya semasa.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

16 rumah musnah dalam kebakaran di Tawau

TAWAU: Kira-kira 16 rumah kayu musnah dalam kebakaran di Lorong Fook Hwa, Batu 2, Jalan Apas, malam semalam. Ketua Zon Tawau Jabatan Bomba dan Penyelamat