ARTIKEL

Kisah Top Gun S’wak bernama Apai

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

HARI ini secara rasmi Jeneral Tan Sri Affendi Buang atau lebih mesra dikenali sebagai Apai (dalam bahasa Iban bermaksud bapa) akan menamatkan kerjayanya sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia.

Beliau merupakan individu ke-21 yang dilantik ke jawatan itu dalam sejarah ketenteraan negara, akan bersara sepenuhnya pada Februari depan.

Namun fakta yang paling penting, beliau merupakan ‘anak Sarawak pertama’ yang diberi peluang ke jawatan tersebut, serta yang kedua daripada Tentera Udara Diraja Malaysia, selepas Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin. Affendi memegang tampuk ketenteraan negara selama tiga tahun lapan bulan.

Justeru itu, dalam Istiadat Perbarisan Penghargaan yang berlangsung di Pangkalan Udara Kuantan Isnin lalu, sebanyak 38 aset udara ketiga-tiga cabang tentera telah diterbangkan untuk mengaum di udara Pangkalan Udara Kuantan – lokasi Affendi memulakan kerjayanya, 41 tahun lalu.

Bagi yang mengenali Affendi, beliau yang genap 61 tahun pada 21 Ogos lalu merupakan seorang yang berbadan kecil dan pendiam.

Berasal dari Kampung Lintang, Kuching beliau menimba ilmu di Sekolah Menengah Tun Abang Haji Openg dan lulus cemerlang dalam peperiksaan menengah rendah pada 1977.

Kerana kepintaran dan bakat sukannya, Affendi kemudian dipilih untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah atas di Maktab Tentera DiRaja Sungai Besi.

Di sini beliau menamatkan Sijil Peperiksaan Malaysia pada 1979.

Dan selepas itu, beliau memutuskan untuk menceburi bidang ketenteraan, dan memilih Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM).

Affendi bermula sebagai pegawai kadet tentera pada 1980, dan menerima latihan asas di Sekolah Pegawai Kadet di Sebatang Kara, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Selepas itu, beliau mengikuti latihan penerbangan asas di Pangkalan TUDM di Alor Star, Kedah, pada 1982, sebelum ditauliahkan sebagai pegawai berpangkat Leftenan Muda dan ditempatkan di Pusat Latihan Terbang No. 3 di Pangkalan TUDM Kuantan, Pahang.

Di sini beliau menerbangkan pesawat Aermacchi MB-339, sebuah jet tempur latihan dan ringan.

Sejak itu, beliau tidak menoleh ke belakang. Sebagai juruterbang pejuang, beliau sentiasa meningkatkan kebolehannya berdasarkan pesawat terbaharu yang dibeli oleh kerajaan.

Pada Oktober 1984, beliau mula mengendalikan McDonnell Douglas A-4 Skyhawk sebelum terlibat dalam operasi pertama berbentuk misi Close Air Support dan Battlefield Air Interdiction pada Jun 1985.

Ketika itu, negara masih berhadapan dengan ancaman Parti Komunis Malaya dan Parti Komunis Kalimantan Utara (NKCP) yang berpangkalan di Sarawak.

Rutin operasinya ketika menerbangkan pesawat pejuang A-4 Skyhawk dan MiG-29 di seluruh ruang udara negara, termasuk Gugusan Semarang Peninjau (stesen luar pesisir Tentera Laut DiRaja Malaysua di Laut China Selatan) dan Zon Maritim Malaysia.

Pada Januari 1988, Affendi dihantar menjalani kursus Juruterbang Pengajar di TUDM Alor Setar sebelum dikembalikan semula ke Skuadron No. 9 pada Julai tahun yang sama, untuk menjadi Juruterbang Pengajar di A-4 Skyhawk, pada usianya baru mencecah 26 tahun.

Kerana watak, kemahiran dan pengalamannya, beliau kemudiannya dipilih untuk menjadi antara pegawai elit yang diserapkan ke dalam Pasukan Projek Mikoyan MiG-29 TUDM pada tahun 1994, yang kemudiannya menjadi Pasukan Teknikal TUDM MiG-29 di Rusia.

Turut bersama-sama beliau ketika itu ialah dua rakan karibnya, yang juga bekas Panglima Tentera Udara Malaysia, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud dan Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad.

Mereka antara pegawai perintis yang bertanggungjawab dalam menjayakan proses pemindahan ilmu operasi MiG-29 TUDM ketika itu.

Dari 1997 hingga 2002, beliau ditempatkan di Divisyen Pertama Udara. Pada mulanya sebagai Pegawai Staf 2 Standard, Keselamatan dan Kesediaan, sebelum dilantik sebagai Pegawai Staf 1 Operasi Pejuang.

Atas kapasiti ini, Affendi bertanggungjawab ke atas kesediaan operasi dan kecekapan keseluruhan kru udara pesawat pejuang TUDM.

Beliau kemudian telah diamanahkan memerintah Skuadron ke 17/19 dari tahun 2002 hingga 2004.

Ketika inilah beliau muncul sebagai wira “top gun” dengan melatih anak-anak buahnya memandu pesawat dengan cekap dan hebat.

Pada masa yang sama, beliau mengasaskan Smokey Bandits — pasukan aerobatik taktikal TUDM MiG-29 yang terkenal dengan aksi-aksi menarik.

Dan ketika itu jugalah, Affendi memacu salah satu pesawat pejuang ini untuk terbang rendah di sekitar Jalan Kulas ketika persembahan udara sempena Sambutan Hari Kebangsaan di Kuching, yang ketika itu berlangsung di Padang Merdeka.

Pada 2006, Affendu dilantik sebagai Komander Pangkalan Udara Butterworth hingga 2007, sebelum dilantik sebagai Pengarah J5 (Kontingensi dan Pelan) di Markas Angkatan Bersama pada 2008 hingga 2009.

Pada Disember 2009, Affendi dinaikkan pangkat sebagai Brigedier Jeneral TUDM dan dilantik sebagai Ketua Pengarah Operasi dan Eksesais di Markas Pemerintahan Operasi Udara TUDM hingga akhir 2010.

Beliau kemudian menyambung pengajian selama setahun di Kolej Pengajian Pertahanan DiRaja di London pada 2011. Ia sebenarnya lanjutan pelbagai kursus dan seminar yang diikutinya di dalam dan luar negara.

Sebelum itu beliau mengikuti kursus pegawai di Maktab Turus Angkatan Tentera Malaysia pada 1997; Kursus Pertahanan dan Pengajian Strategik di Pusat Pengajian Pertahanan dan Strategik (CDSS) di Australia pada 2005, dan sempat memiliki Ijazah Sarjana Seni (Pengajian Strategik) di Universiti Deakin, Australia.

Sekembalinya dari United Kingdom, pada usianya 48 tahun, Affendi dilantik semula sebagai Ketua Pengarah Operasi dan Latihan di Markas Pemerintahan Operasi Udara TUDM pada September 2011, sebelum dinaikkan pangkat kepada Mejar Jeneral TUDM pada 2013. 

Pada Julai 2014, beliau sekali lagi dinaikkan pangkat, kini sebagai Leftenan Jeneral TUDM dan dilantik menjawat Panglima Markas Angkatan Bersama.

Menjelang akhir 2014, Apai dilantik sebagai Panglima Operasi Udara TUDM dan memegang jawatan itu selama setahun sebelum dilantik sebagai Timbalan Panglima Tentera Udara pada 2015.

Pada 21 Disember 2016, ketika usianya menginjak 54 tahun, Affendi dilantik sebagai Panglima Tentera Udara Malaysia ke-18, anak Sarawak pertama yang dilantik ke jawatan tersebut.

Tanggal 2 Januari 2020, sekali lagi beliau melakar sejarah istimewa negeri ini apabila dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia.

Atas kecemerlangan dan keberaniannya, lelaki yang wajahnya mirip berkas Presiden Pakistan Pervez Musharraf ini telah menerima pelbagai anugerah.

Antaranya Pingat Tentera Udara (PTU) kerana kemahiran cemerlangnya sebagai juruterbang jet pejuang.

Beliau turut dianugerahkan Kesatria Angkatan Tentera (KAT), Pahlawan Angkatan Tentera (PAT), Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) dan Panglima Gagah Angkatan Tentera(PGAT).

Affendi turut menerima pingat Ahli Mahkota Pahang (AMP), Setia Ahmad Shah Pahang (SAP), Darjah Indera Mahkota Pahang(DIMP) dengan gelaran Dato’ dan Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP), yang membawa gelar Dato’ Sri daripada Sultan Pahang.

Pingat Kesatria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (SPKK) pula dianugerahkan Sultan Kelantan, Muhammad V, kepada beliau selain Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Untuk rekod, Affendi merupakan ipar kepada Seri Paduka Yang diPertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana mengahwini kekandanya, Tengku Puteri Seri Teja Puan Seri Tengku Muhaini Al-Marhum Sultan Ahmad Shah.

Sebelum meninggalkan jawatan nombor satu tentera itu, Affendi menitip pesan yang amat bermakna kepada setiap pegawai dan anggota bawahannya: “Sebagai seorang askar berkerjaya, adalah penting untuk terus menimba ilmu kerana ia adalah kunci untuk meningkatkan kecekapan serta kemahiran untuk meningkatkan diri.”

Baginya, reputasi dan prestasi cemerlang Angkatan Tentera Malaysia perlu dipertahankan untuk mencetuskan kepercayaan mutlak semua pihak kepada organisasi itu.

Peranan sebagai Panglima Tentera Malaysia kini akan digalas oleh Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahmah, dengan majlis penyerahan tampuk pemerintahan ini akan berlangsung pada 6 September depan.

Terima kasih Apai.

• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media di Sarawak.

BERITA LAIN

Gemar tukar kerjaya

SETELAH beberapa tahun bekerja, pasti ada yang sudah bertukar kerja, sekurang-kurangnya sekali, atau setidak-tidaknya terfikir untuk menceburi kerjaya lain. Malah ada yang sudah tiga kali

Abang Johari dan pesanan untuk rakyat

KETIKA Sarawak menyambut ulang tahun pemerintahan sendiri ke-61 Isnin lalu, wilayah ini sebenarnya sedang berada dalam kelasnya tersendiri. Sambutan yang diadakan di Bintulu itu amat

Makna Hari Sarawak

PENGISYTIHARAN 22 Julai yang diraikan sebagai Hari Sarawak telah mencetuskan pelbagai tafsiran, malah kontroversi. Namun dengan mengetepikan pelbagai tafsiran dan kontroversi itu, kita perlu mengakui hakikat bahawa

Skrin berwarna biru

LAYAR komputer yang menggunakan sistem Windows di banyak negara, tiba-tiba down sehingga tampil “berwarna biru” atau mengalami Blue Screen of Death (BSOD). Hal ini menyebabkan

Terima kasih sahabat sejati

ARSENAL, Manchester United dan Liverpool antara kelab bola sepak yang digemari penulis dan rakan sekerja lain. Walaupun berbeza minat, namun kami tetap meneruskan kehidupan sebagai

Cemburu dan cinta

KEMATIAN Nur Farah Kartini Abdulllah, 25 tahun, yang baru menamatkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris — digambarkan oleh pensyarahnya sebagai bakal guru hebat yang

BERITA TERBARU

Kejohanan catur uji kepantasan berfikir

KUCHING: Seramai 80 peserta menyertai Kejohanan Catur Pantas H&L yang dianjurkan oleh Kelab Prihatin Belia Bandaraya Kuching dengan kerjasama Persatuan Catur Negeri Sarawak di Eco

Sarawak punyai keupayaan simpan karbon

KUCHING: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) melancarkan Pusingan Bidaan Sarawak (SBR) 2024, satu inisiatif utama yang bertujuan memanfaatkan geologi tersendiri Sarawak untuk Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan

Empat pasukan buru gelaran juara Piala FA Serian

SERIAN: Saingan peringkat separuh akhir kempen Piala FA Serian berlangsung Ahad ini (28 Julai). Sekali gus, menyaksikan pertembungan hebat empat pasukan handalan dalam mengintai tiket