Kita belum menang, tidak juga tewas

SIBU dikunci mulai hari ini susulan susulan peningkatan kes Covid-19 daripada Kluster Pasai sejak Ahad lalu dan sehingga kini menjangkiti 400 warganya.
Pelbagai usaha pencegahan dengan menjejak kontak rapat dilakukan di bandar majoriti dihuni kaum Cina itu sehingga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Negara juga sedang dalam keadaan darurat bagi mengecilkan ruang jangkitan Covid-19 daripada merebak setelah Malaysia mencatat angka sehingga 3000 kes sejak minggu lalu.
Lebih dibimbangi, kes mencecah 8,000 sehari seperti yang pernah dibayangi Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noorhisyam Abdullah.
Sejak Covid-19 memasuki negara ini pada awal 2020, semua orang membuat carian di mana letaknya Wuhan, kerana di sini bermula musibah yang mengunci seluruh dunia termasuk negara ada kuasa besar.
Besar sungguh kuasa Covid-19 sehingga negara maju pun tunduk kepadanya selain kebimbangan terhadap vaksinnya walaupun sudah melepasi kajian klinikal.
Pandemik ini mencetus ketakutan kerana ia tidak kelihatan dan boleh merebak hanya melalui sentuhan.
Malahan apabila manusia bergerak dari satu tempat ke tempat lain, ia boleh disebarkan dengan mudah.
Sebab itu, pergerakan di kawasan yang tinggi kes dilarang sama sekali.
Semuanya salah China – ayat yang menjadi mainan kita sekarang.
Tanya kepada kanak-kanak, apa yang mereka tahu mengenai Covid-19, mereka akan jawab, semuanya salah China.
Sebenarnya, tiada siapa yang bersalah dan kita tidak harus menuding jari kepada China.
Tetapi Sindrom Pernafasan Akut Teruk atau dipanggil Sars juga bermula di China pada 2002, yang mengorbankan banyak jiwa di seluruh dunia.
Sebagai langkah pencegahan dan mengelak daripada dijangkiti, masyarakat dunia ketika itu turut mempraktikkan penggunaan pelitup muka.
Di Kanada semasa berlakunya Sars seperti juga Covid-19, wujud panik dan ketakutan melampau terhadap penyakit itu sehingga penduduk tidak dibenarkan melancong bagi mengelakkan penyakit itu tersebar.
Seperti di negara lain di dunia, kita di Malaysia mula serasi menggunakan pelitup muka malah ia seperti kita memakai seluar dalam, jika tertinggal terasa janggal.
Kita mula faham mengenai penjarakan fizikal dan mengamalkan duduk jauh-jauh walaupun di depan mata, kekasih hati.
Kita juga tiada bersentuhan, bersalam dan sedikit sebanyak semakin selesa dengan gaya kehidupan baharu.
Namun, sejarah kesihatan membuktikan, kecemasan dan kebimbangan akibat jangkitan tidak akan berpanjangan.
Setelah jangkitan penyakit dapat dibendung dan faktor penyebabnya dapat dikurangkan, kecemasan dan kebimbangan tersebut akan bertukar menjadi kealpaan dan sikap ambil mudah kembali menjejaskan amalan hidup sihat.
Inilah yang terjadi kepada kita semua apabila pada Ogos dan September tahun lalu, kita semakin lupa kita belum menang perang Covid-19.
Kita mula mendengar ia landai, tidak mencecah dua angka dan dengan sedikit kelonggaran – akhirnya kita mengundang gelombang ketiga selepas kes meningkat di Sabah pada awal Oktober.
Sikap ambil mudah in diakui oleh agensi kesihatan antarabangsa sebagai faktor utama yang menyebabkan program pencegahan gagal dilaksanakan secara berkesan.
Walaupun Sarawak dipuji kerana berjaya membendung wabak melalui langkah pemantauan aktif, pengesanan awal, pengasingan dan pengurusan kes serta pencegahan penyebaran jangkitan Covid-19, janganlah kita leka dan alpa.
Jangan pernah berasa selesa kerana kita masih belum menang sepenuhnya dalam melawan pandemik yang ganas itu.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membayangkan pandemik ini terus semakin buruk, melainkan orang ramai berdisiplin mengamalkan penjarakan sosial, membasuh tangan, memakai pelitup muka dan tidak keluar rumah jika tiada keperluan.
Kebergantungan masyarakat kepada pihak berkuasa terutamanya dalam mematuhi SOP tidak praktikal kerana kekangan tenaga kerja dan penguatkuasaan yang terhad.
Sehubungan itu, masyarakat perlu memainkan peranan dalam mengekang penyebaran wabak ini dalam komuniti.
Ironinya, kita bukan saja bertanggungjawab kepada diri sendiri, tetapi juga kepada keluarga dengan memastikan menutup segala ruang yang boleh meningkatkan risiko jangkitan.
Kita perlu jaga kita!

Suara Sarawak