ARTIKEL

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

KKM sasar tempoh 4-5 tahun laksana transformasi kesihatan digital

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menyasar untuk melaksanakan transformasi kesihatan digital di setiap fasiliti kesihatan seluruh negara dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pelaksanaan transformasi menerusi strategi ‘satu individu satu rekod’ itu akan dimulakan dengan penggunaan rekod perubatan elektronik (EMR) di setiap fasiliti kesihatan yang terlibat.

“Kementerian sedang mengambil perspektif baharu dalam melaksanakan transformasi tersebut, antaranya mewujudkan Bahagian Kesihatan Digital yang akan bertanggungjawab merangka pelan pendigitalan kesihatan secara holistik, bersedia untuk masa depan dan bukti masa depan.

“Pendekatan yang akan diambil berteraskan strategi ‘Reform, Relook, Recalibrate dan Realise’, merangkumi aktiviti konsolidasi unit-unit digital di KKM, melihat kembali semua sistem digital di KKM, menetapkan strategi pendigitalan baharu mengikut arus teknologi terkini, dan mengimplementasi serta memantau pelaksanaan yang telah dirancang,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) yang ingin tahu perkembangan transformasi kesihatan digital yang akan dilaksanakan pada tahun ini.

Baca lain  Tangani serangan siber secara menyeluruh - Fahmi

Dr Dzulkefly berkata kerajaan juga akan melaksanakan kajian pemetaan keseluruhan seni bina kesihatan digital negara serta menambah baik strategi sedia ada bagi memastikan pelaksanaan yang lebih pantas dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan lebih komprehensif dan berkualiti kepada rakyat.

Pada masa yang sama, beliau berkata transformasi kesihatan digital antara fasiliti kerajaan dan swasta juga merupakan tumpuan KKM dalam meningkatkan aksesibiliti, keselamatan dan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan.

“Pelaksanaan inisiatif ini mustahak untuk dicapai kerana ia dapat memastikan kejituan penjagaan pesakit yang mempunyai beberapa ciri seperti bersifat kos rendah, selain turut membolehkan KKM membuat analisis data besar mengenai kesihatan digital,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Adnan mengenai kesediaan KKM dalam menggunakan sistem EMR itu, Dr Dzulkefly yakin kementerian mempunyai keupayaan dan kepakaran berkenaan kerana aspek pendigitalan kesihatan sudah diperkenalkan dalam skala kecil di beberapa hospital dan klinik kesihatan sebelum ini.

“Pada masa ini, hanya 20 peratus hospital yang menggunakan EMR, manakala untuk klinik kesihatan, ia merangkumi 236 buah daripada keseluruhan 3,876 klinik, jadi kita mahu menganalisis, menempatkan semula dan akses semula penggunaannya supaya dapat laksanakan EMR pada tahun kelima pentabdiran kerajaan ini,” katanya. — BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU