KUALA LUMPUR: Beban kos kesihatan dan ekonomi akibat penyakit berkaitan penggunaan vape dianggarkan mencecah RM369 juta setahun, jauh melebihi hasil kutipan duti eksais produk vape yang direkodkan kerajaan, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).
KKM memaklumkan kutipan duti eksais produk vape berjumlah RM80.32 juta pada 2023, meningkat kepada RM111.14 juta pada 2024 dan RM118.93 juta pada 2025. Bagi tempoh 1 Januari hingga 11 Jun tahun ini, kutipan berjumlah RM44.11 juta, menjadikan keseluruhan kutipan sebanyak RM354.51 juta.
Kementerian itu menegaskan hasil kutipan duti eksais bukan alasan untuk membenarkan penjualan vape di pasaran dan sedang meneliti cadangan mengharamkan vape jenis berbotol susulan risiko penyalahgunaan dengan campuran dadah serta bahan terlarang.
Menurut KKM, sebarang keputusan termasuk cadangan pengharaman yang lebih menyeluruh akan dibuat berdasarkan bukti saintifik, data semasa dan kepentingan kesihatan awam, sementara kerajaan memberi tumpuan kepada pelaksanaan serta penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Akta 852 memberi penekanan kepada perlindungan orang belum dewasa dengan melarang penjualan, pembelian dan penggunaan produk merokok termasuk vape oleh individu berusia di bawah 18 tahun bagi mengurangkan akses serta penggunaan produk berkenaan menurut laporan Bernama.



