KUCHING: Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) diminta agar memperbanyakkan program-program pembangunan asas kemahiran hoki kepada atlet-atlet muda di negeri ini.
Ketua Jurulatih Pasukan Hoki Wanita, Linda Liwek Laing berkata, meskipun beberapa program telah diwujudkan SSC dan MSNS menerusi Pembangunan Pusat (PP) dan Pembangunan Cemerlang (PC), namun hakikatnya ia masih belum mencukupi.
“Kemahiran asas amat penting untuk mewujudkan pasukan yang mantap dan mampu bertarung dengan pasukan elit dari negeri-negeri lain seperti kemahiran hantaran bola; protokol dan pertahanan,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan perlawanan antara Skuad Hoki Wanita Sarawak menentang Sabah di Stadium Hoki Petra Jaya di sini, pagi tadi.
Sehubungan itu, Linda mencadangkan agar perlaksanaan Klinik Asas Sukan Hoki di Sarawak perlu dipergiatkan terutama di peringkat akar umbi sebagai landasan memberi pengetahuan asas sekali gus melahirkan pemain berbakat bermula di peringkat sekolah.
Pada masa sama, beliau berharap agar Kerajaan Sarawak menjalankan usaha lebih gigih dan komited untuk memartabatkan sukan hoki di Sarawak.
“Bagi atlet-atlet kita, mereka boleh pergi jauh kerana bepotensi untuk menyinar jika digilap lebih lagi… cuma perlu lebih banyak latihan kerana masa latihan amat terhad susulan ramai antara mereka terikat dengan sesi persekolahan.
“Misalnya pasukan kita, kebanyakkan latihan memang jarang dapat mengumpulkan semua pemain-pemain akibat kekangan masa.
“Namun saya tak menafikan memang Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) memang membantu dalam memberikan perlepasan kepada mereka untuk menjalani latihan,” ujarnya.
Terdahulu, Pasukan Hoki Wanita berada di kelompok 10 terbaik meskipun tewas kepada Sabah dalam perlawanan mendapatkan tempat kesembilan dan kesepuluhan pada Kejohanan Hoki SUKMA 2024, hari ini.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Petra Jaya pagi tadi, semangat tidak putus asa skuad remaja wajar diberikan pujian apabila terus mempertahankan gawang gol sehingga suku masa kedua permainan.
Bagaimanapun, kedudukan 0-0 tidak kekal lama apabila Sabah berjaya menjaringkan dua gol separuh masa kedua menerusi gol padang sekali gus menewaskan tuan rumah.



