BINTULU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee mencadangkan penubuhan kemudahan kebajikan berasaskan wakaf seperti klinik dan pusat dialisis bagi memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat setempat.
Beliau berkata, inisiatif itu bukan sahaja mampu membantu meringankan beban kos rawatan golongan kurang berkemampuan, malah menjadi sumber kebajikan berterusan kepada penduduk Jepak dan kawasan sekitarnya.

“Saya mahu melihat Jepak memiliki kemudahan kesihatan berasaskan wakaf yang memberi manfaat besar kepada masyarakat, khususnya bagi mereka yang memerlukan rawatan berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Bintulu 1446H/2025 di Masjid Darul Makmur, Kampung Jepak pada Khamis malam.

Selain itu, Iskandar turut berhasrat memperkukuh kerjasama dengan komuniti Muslim di Jepak melalui penyusunan kalendar aktiviti keagamaan yang lebih tersusun dan berterusan.
Beliau dalam pada itu turut menasihati para peserta tilawah al-Quran tahun ini supaya terus berusaha meningkatkan mutu bacaan dan tidak berputus asa jika belum meraih kemenangan.
“Saya mengucapkan tahniah kepada semua peserta. Kepada yang belum berjaya, cuba lagi pada tahun hadapan dan insya-Allah, bacaan anda akan terus bertambah baik,” katanya.
Sementara itu, Kasti Tihi dan Ratna Mohamad masing-masing dinobatkan sebagai johan kategori qari dan qariah pada majlis tilawah tersebut.
Tempat kedua kategori qari dimenangi oleh Abang Hakimi Syarizal Abang Jasmani diikuti Syed Abdul Waahid Qusyairi Syed Ahmad Johari di tempat ketiga. Bagi kategori qariah pula, naib johan disandang oleh Ezza Afrina Mohd Shamshuri manakala Aina Yazmyn Natasha Abd Aziz di tempat ketiga.
Turut hadir Timbalan Residen Bahagian Bintulu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Aktiviti Islam Bahagian Bintulu, Abang Zainuddin Abang Turkeyy; Pegawai Daerah Bintulu, Awang Mohamed Nizam Awang Ali Borhan serta Pegawai Agama Islam Bahagian Bintulu, Muhamad Rahiman Malim.



