ARTIKEL

Klinik Tanjong Bijat perlu dinaik taraf

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Klinik Kesihatan Tanjong Bijat kini berdepan isu kritikal apabila struktur bangunan kayu semakin uzur serta kerosakan pada struktur utama tidak lagi selamat dan berpotensi mengancam keselamatan petugas serta pesakit.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, keadaan itu memerlukan perhatian segera daripada pihak kementerian berkaitan bagi memastikan keselamatan serta kelangsungan perkhidmatan kesihatan di kawasan berkenaan terus terjamin.

“Klinik yang dibina pada tahun 1979 dan dirasmikan pada 30 April 1980 telah berusia lebih 46 tahun kini berdepan pelbagai kekangan termasuk kemudahan asas yang semakin usang serta tidak lagi memenuhi keperluan semasa.

“Klinik ini masih beroperasi dengan komitmen tinggi oleh 11 kakitangan kesihatan yang diketuai seorang doktor, selain menerima purata 700 hingga 800 pesakit setiap bulan walaupun dalam keadaan serba kekurangan.

“Klinik ini turut berperanan memberikan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk dari 67 rumah panjang dan kampung Melayu di sekitar kawasan Gran Stumbin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan Atas Ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mong berkata, perkhidmatan di klinik tersebut merangkumi rawatan asas, pemeriksaan kesihatan, saringan penyakit tidak berjangkit, kesihatan ibu dan anak, kesihatan warga emas, kesihatan mental serta pelbagai perkhidmatan kesihatan komuniti.

“Selain itu, berek kakitangan yang tidak lagi sesuai didiami turut menjadi kebimbangan, khususnya bagi petugas yang bertugas lebih masa atau ketika menerima panggilan kecemasan,” jelasnya.

Tambah beliau, pagar keselamatan klinik yang rosak dan mudah diceroboh turut meningkatkan risiko keselamatan serta kemungkinan berlakunya kejadian kecurian di kawasan berkenaan.

Kemudahan parkir yang terhad turut menimbulkan kesulitan kepada pesakit yang hadir mendapatkan rawatan kerana kawasan sedia ada tidak mampu menampung jumlah kenderaan yang tinggi.

“Keadaan ini menyukarkan pihak klinik untuk menampung jumlah kenderaan pesakit yang datang mendapatkan rawatan.

“Selain itu, masalah bekalan air yang sering terputus turut menjejaskan operasi harian klinik,” ujarnya.

Lebih membimbangkan, katanya, klinik tersebut juga tidak mempunyai ambulans bagi menghantar pesakit ke Hospital Sri Aman dalam kes kecemasan atau kes yang memerlukan rawatan lanjut.

Sehubungan itu, beliau menegaskan penduduk luar bandar di Tanjung Bijat, Gran Stumbin dan kawasan sekitar berhak menikmati kemudahan kesihatan yang selesa, selamat dan berkualiti setanding dengan kawasan bandar.

“Saya berharap kementerian berkaitan mempertimbangkan peruntukan segera bagi menaik taraf klinik berkenaan termasuk membaiki bangunan, menyediakan ambulans, menaik taraf berek kakitangan serta menyelesaikan isu utiliti dan keselamatan.

“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan kebajikan rakyat serta mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan di luar bandar.

“Bahkan, semua isu ini difahamkan telah dibawa kepada pihak pengurusan namun masih menunggu maklum balas daripada pihak berkuasa dan kementerian berkaitan,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU