Kluster jemaah tabligh Seri Petaling tamat – KP Kesihatan

PUTRAJAYA: Kluster COVID-19 terbesar negara iaitu kluster perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Seri Petaling berjaya merekodkan sifar kes sekali gus diisytihar tamat pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster itu dikesan susulan perhimpunan keagamaan di masjid tersebut yang berlangsung dari 27 Feb sehingga 3 Mac lepas serta dihadiri seramai 16,000 orang melibatkan 14,500 warganegara Malaysia dan 1,500 bukan warganegara dari pelbagai negara.

“Kementerian Kesihatan (KKM) dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa, kluster COVID-19 terbesar di Malaysia, iaitu Kluster Perhimpunan Seri Petaling adalah diisytihar tamat pada semalam.

“Kes positif COVID-19 pertama kluster ini dilaporkan di dalam negara pada 11 Mac 2020 (iaitu seminggu selepas perhimpunan berakhir), iaitu kes ke-131 dan kes ke-136 melibatkan warganegara Malaysia dari Pahang dan Negeri Sembilan yang telah hadir perhimpunan tersebut,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini, semalam.

Dr Noor Hisham berkata kluster itu besar kemungkinan berpunca dari luar negara dan kemudiannya tular di dalam komuniti melalui aktiviti perhimpunan secara besar-besaran melalui kontak rapat kes yang positif.

Dr Noor Hisham berkata sehingga 8 Julai, seramai 42,023 individu telah disaring dalam kluster itu dan daripada jumlah tersebut, 3,375 kes telah dilaporkan positif COVID-19.

“Kes-kes bagi kluster dan sub-kluster di bawahnya dikesan di tujuh negeri, melibatkan 2,550 warganegara Malaysia dan 825 bukan warganegara dari 28 buah negara.

“Kebanyakan kes positif kluster ini adalah tidak bergejala iaitu, 2,187 kes atau 64.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif kluster ini,” katanya.

Menurutnya, seramai 87 pesakit telah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 29 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 3,341 individu telah sembuh menjadikan kadar pesakit yang telah sembuh 98.9 peratus.

Mengenai kes kematian melibatkan kluster itu, katanya terdapat 34 kematian dilaporkan, terdiri daripada 31 warganegara dan tiga lagi bukan warganegara, melibatkan 30 lelaki dan empat perempuan.

Beliau berkata hasil siasatan dan aktiviti pendekatan tertumpu, KKM telah mengesan sebanyak 17 sub-kluster dalam kluster itu, termasuk Kluster Kampung Sungai Lui yang juga tamat , Kluster Selangor Mansion dan Kluster Pasar Borong Kuala Lumpur.

“Sejak dari awal pengesanan kluster ini, kerajaan telah menjalankan pendekatan tertumpu secara agresif dan meluas melalui aktiviti pengesanan kes secara aktif bagi kumpulan sasar dalam kluster ini iaitu peserta dan kontak rapat perhimpunan di Seri Petaling serta pelajar, kakitangan pusat tahfiz, dan madrasah di seluruh Malaysia.

“Empat bulan telah berlalu sejak kluster ini mula dikesan dan hari ini tamatlah tempoh 28 hari sejak kes terakhir kluster ini dilaporkan (iaitu kes ke-8367) pada 11 Jun lepas,” jelasnya.

Dr Noor Hisham berkata pencapaian ini merupakan kejayaan bersama bagi KKM dan agensi lain yang telah bekerjasama melalui tindakan bersepadu dalam segala pendekatan bagi mengawal dan membendung penularan jangkitan COVID-19 dalam kluster itu.

Beliau juga menekankan sumbangan pihak media yang telah memainkan peranan besar dalam menyebarkan maklumat dan komunikasi risiko berkaitan kluster ini ke seluruh negara.

“Terima kasih diucapkan kepada pihak Masjid Seri Petaling atas sokongan padu dan bantuan yang telah mereka berikan. Kerjasama yang diberikan oleh semua ahli jemaah telah banyak membantu dalam tindakan mengesan, membendung dan merawat kes COVID-19,” katanya.