Kluster Pagar Satok melibatkan OKT antara kluster baharu di Sarawak hari ini.

KUCHING: Dua kluster baharu dikesan di Sarawak hari ini, iaitu Kluster Pagar Satok di Kuching dan Kluster Jalan Selalang di Sarikei.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Kluster Pagar Satok melibatkan saringan orang kena tahan (OKT) di lokap tahanan, Balai Polis
Satok, Kuching.

“Seramai 83 individu telah disaring, 24 daripadanya positif melibatkan 11 bukan warganegara dan 13  warga Sarawak, manakala 59 individu lagi didapati negatif,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambah JPBN, Kluster Jalan Selalang adalah kluster komuniti yang melibatkan penduduk di sebuah rumah panjang di Sungai Kerubong, Jalan Selalang, Sarikei.

“Seramai 89 individu telah disaring dan 37 orang disahkan positif termasuk kes indeks, sementara 52 individu negatif,” ujarnya.

Dalam perkembangaan sama, JPBN memaklumkan terdapat satu kluster diisytiharkan tamat hari ini iaitu Kluster Nanga Strass di Meradong menjadikan hanya 91 kluster masih aktif di Sarawak.

Suara Sarawak