KM: Popularkan e-sukan di S’wak

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menaik taraf semua kemudahan latihan selain memperkenalkan aktiviti e-sukan kepada generasi muda.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia langkah terbaik terutama apabila e-sukan sering dikaitkan membuang masa meskipun ia sebenarnya menguatkan minda.

“Sukan seperti e-sukan bukan sekadar bermain ‘games’ namun langkah awal menyediakan anakanak kita kepada teknologi digital,” katanya pada Malam Penghargaan Kementerian Belia dan Sukan di sini, Selasa lepas.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kementeriannya menekankan penglibatan anak-anak muda Sarawak dalam e-sukan dan berharap pada masa yang sama, mereka terlibat dalam sukan fizikal.

“Ia akan menjadi tidak baik jika seseorang itu hanya duduk bermain ‘games’ dan tidak berkomunikasi dengan rakan-rakan. “Anda boleh bermain e-sukan tetapi pada masa yang sama juga terlibat dalam sukan lain,” katanya.

Abang Johari menjelas lagi, selain e-sukan, kerajaan juga sedang mengkaji kemungkinan menyediakan anak muda dalam sukan yang lebih lasak dan mencabar, yang akan menguji daya tahan individu.

Kerajaan Sarawak tegasnya, turut membangunkan sukan tradisional seperti bola sepak, gasing, sepak takraw, wushu dan sebagainya. Abang Johari turut berjanji mengkaji semula insentif untuk atlet yang cemerlang di peringkat antarabangsa bagi memotivasikan atlet muda dan atlet berpotensi untuk menyasarkan acara antarabangsa.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian insentif kepada atlet-atlet Sarawak yang memenangi pingat dalam Sukan Sea 2019 dan kejohanan antarabangsa 2019 serta menyerahkan geran kepada persatuan-persatuan belia dan sukan Sarawak.

Suara Sarawak