KMKK perlu bijak dan perlu proaktif urus kampung – Abdullah

TANJUNG MANIS: Pemimpin masyarakat yang dilantik perlu proaktif dan berperanan secara lebih efektif dalam mengurus kampung masing -masing.

Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Abdullah Saidol berkata, sikap positif itu membantu melicinkan usaha pembangunan kerajaan di samping memastikan peruntukan dapat disalurkan dengan cepat untuk manfaat rakyat.

Menurutnya, ketua masyarakat mesti mempunyai maklumat lengkap tentang perancangan dan dasar pembangunan kerajaan supaya dapat memberi penjelasan tepat kepada penduduk di bawah pentadbiran mereka.

“Akaun JKKK mesti diuruskan secara berhemah dan lebih telus supaya memberi impak besar kepada penduduk setempat.

“Pengurusan kewangan yang dicurigai boleh menimbulkan buruk sangka dalam kalangan penduduk sekaligus hilang kepercayaan terhadap kepimpinan JKKK.
,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Bengkel Pemantapan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Bahagian Mukah Peringkat Daerah Tanjung Manis, semalam.

Beliau berkata, ketua masyarakat juga perlu berpandangan jauh dan mempunyai perancangan menyeluruh bagi memastikan lebih banyak akitiviti kemasyarakatan dapat dilaksanakan di kawasan masing-masing.

Menurutnya, tugas dan peranan KMKK dan ahli-ahli JKKK adalah amat penting dalam menentukan kemajuan dan keharmonian di setiap kampung dan rumah panjang.

Apa yang penting katanya, mereka bukan sahaja boleh mengurus dengan baik tetapi juga harus bersikap adil supaya dihormati oleh penduduk di bawah jagaan masing-masing.

“Sepanjang sembilan tahun saya menjadi wakil rakyat, saya akui peranan KMKK memang sangat penting. Kami wakil rakyat tidak akan dapat melaksanakan tugas dengan sempurna jika tidak mendapat sokongan dan kerjasama KMKK.

“Justeru, kegagalan mereka menguruskan kampung boleh mengakibatkan kepincangan dan perpecahan. Malah, mereka mungkin menjadi individu yang tidak boleh dipercayai” katanya.

Di majlis tersebut juga, seramai 69 orang KMKK menerima sijil lantikan dan lanjutan bagi tahun 2020 hingga 2021.

Abdullah yang juga ADUN N.42 Semop turut menyampaikan sumbangan RM5,000 masing-masing kepada Persatuan Alumni SK Abang Galau Rajang dan Kelab Rando Tanjung Manis.

Hadir sama Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh, Ahli Parlimen P. 206 Tanjung Manis, Ir Yusof Wahab, Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Abu Seman Jahwi, Residen Mukah, Hamdiah Bakir dan Pegawai Daerah Tanjung Manis, Udin Bujang.

Suara Sarawak