KUCHING: Koperasi Guru Bumiputera Sarawak (KOBAGUS) merancang membangunkan projek perumahan di kawasan Bako melibatkan tanah seluas kira-kira 10.4 ekar dengan menyediakan sebanyak 105 unit kediaman.
Pengerusinya, Mohamad Mortadza Mantrang berkata, projek tersebut merangkumi pembinaan rumah teres satu dan dua tingkat dengan pelan pembangunan akan dikemukakan kepada Majlis Perancangan Negeri (SPA).

“Keadaan bumi di kawasan tersebut memerlukan perancangan serta kos pembangunan yang lebih tinggi, termasuk pembinaan tembok penahan.
“Ini bagi membolehkan projek perumahan tersebut dilaksanakan dengan lebih teratur,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, kunjungan tersebut adalah untuk membincangkan beberapa perkara berkaitan pelaksanaan projek berkenaan termasuk cabaran pembangunan di kawasan berbukit.
Jelasnya, mereka berjumpa dengan Premier untuk memohon bantuan bagi mengatasi perkara tersebut bagi memastikan ia dapat diteruskan.
Selain projek perumahan, KOBAGUS turut meneliti potensi mendapatkan baki tanah berhampiran bagi cadangan pembangunan sebuah bandar pintar atau Smart City.
Tambahnya, inisiatif tersebut berpotensi menjadi antara projek perintis pembangunan bandar pintar yang diterajui koperasi di Sarawak.


