ARTIKEL

Imbas kod QR untuk mengemukakan cadangan reformasi undang-undang buruh.

Kod QR Cadangan Ubah Undang-Undang Buruh Demi Kesejahteraan Hidup Pekerja Biasa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Suara dan pandangan rakyat amat penting dalam melaksanakan reformasi undang-undang buruh bagi memperkukuh perlindungan pekerja serta memastikan sistem perburuhan negara lebih adil, inklusif dan kekal relevan dengan keperluan semasa.

Menurut Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), reformasi undang-undang tersebut dilaksanakan secara besar-besaran membabitkan sejumlah 26 akta serta disusun melalui tiga bidang utama.

“Oleh itu, orang ramai termasuk pekerja, majikan dan kesatuan digalakkan mengemukakan cadangan masing-masing dengan mengimbas kod QR yang disediakan melalui poster rasmi kementerian.

“Maklum balas tersebut dibuka sehingga 1 Disember 2025 sebagai sebahagian proses libat urus awam bagi memastikan reformasi undang-undang ini benar-benar inklusif dan memenuhi keperluan semua pihak,” katanya dalam hantaran di Facebook rasmi.

Mengulas lanjut, KESUMA menegaskan reformasi tersebut digerakkan melalui penyusunan semula perundangan mengikut tiga kluster utama merangkumi perhubungan perusahaan dan pematuhan buruh, kesejahteraan pekerja dan perkhidmatan pekerjaan, serta pembangunan kemahiran.

“Dalam kluster pertama yang melibatkan undang-undang seperti Akta Kerja 1955 dan Ordinan Buruh Sarawak, fokus diberikan kepada penambahbaikan proses pentadbiran, pengukuhan mekanisme siasatan dan pendakwaan serta peningkatan perlindungan undang-undang kepada pekerja.

“Langkah ini dilihat mampu mengurangkan ruang eksploitasi serta meningkatkan kecekapan penguatkuasaan,” ujarnya.

Jelas KESUMA, bagi kluster kesejahteraan pekerja dan perkhidmatan pekerjaan pula, tumpuan diberikan kepada penambahbaikan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

“Antara cadangan yang sedang diperhalusi termasuk pemberian kuasa kepada PERKESO untuk mewajibkan majikan memastikan keselamatan perjalanan pekerja serta pelaksanaan program penempatan semula pekerja yang cedera.

“Had umur liputan skim suri rumah di bawah Akta 838 juga dicadang dinaikkan daripada 55 kepada 60 tahun,” jelasnya.

KESUMA yakin langkah tersebut bakal membentuk sistem perburuhan yang lebih progresif, telus dan berpaksikan kesejahteraan pekerja, sekali gus memperkukuh ekosistem pekerjaan negara ke arah masa depan yang lebih mampan.

“Sementara itu, JKKP sedang membangunkan Pusat Sehenti Digital KESUMA sebagai platform bersepadu untuk notifikasi tempat kerja, pelaporan kemalangan dan penyakit pekerjaan serta pengurusan aduan.

“Inisiatif digital ini dijangka meningkatkan kecekapan pemantauan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di seluruh negara,” katanya lagi.

Dalam kluster pembangunan kemahiran, KESUMA mencadangkan peluasan definisi pekerja bagi merangkumi pelatih, perantis, pekerja sambilan dan bebas.

“Pengiktirafan baharu turut dicadang diwujudkan bagi peranan pakar kemahiran, pakar kemahiran kanan dan perunding kemahiran, sejajar dengan keperluan industri yang semakin berorientasikan kemahiran tinggi,” ujarnya.

Tegas KESUMA, matlamat reformasi ini adalah bagi menambah baik undang-undang lama, mengenal pasti peruntukan yang tidak lagi relevan, menggabungkan akta tertentu untuk memudahkan penguatkuasaan serta memperjelas fasal-fasal yang dianggap samar atau terlampau teknikal.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU