KUCHING: Kumpulan pelajar kohort pertama Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak mempamerkan prestasi cemerlang dengan mencapai kadar kelulusan 100 peratus dalam peperiksaan Cambridge Checkpoint baru-baru ini.
Tambah membanggakan apabila lebih 40 peratus daripada 99 pelajar kumpulan pertama itu memperoleh Band Cemerlang Tertinggi dalam mata pelajaran Matematik dan Sains.
Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak berkata kejayaan tersebut merupakan hasil daripada kerja keras serta dedikasi luar biasa daripada para pelajar, guru dan ibu bapa.
“Lebih membanggakan lagi apabila hampir 20 peratus pelajar berjaya mencapai Band Cemerlang Tertinggi dalam ketiga-tiga subjek.
“Manakala seramai empat pelajar memperoleh skor sempurna dalam semua mata pelajaran,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.
Sekolah itu turut memberitahu, hampir 25 peratus pelajar mereka berjaya mencapai Band Cemerlang Tertinggi dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.
“Tahniah diucapkan dan semoga pencapaian ini menjadi inspirasi kepada semua untuk terus menggapai bintang,” tambah kenyataan itu.
Peperiksaan Cambridge Checkpoint adalah satu penilaian standard antarabangsa yang direka oleh Cambridge Assessment International Education (CAIE) untuk menilai pencapaian pelajar pada tahap pendidikan menengah rendah.
Peperiksaan ini biasanya diambil oleh pelajar berumur antara 11 hingga 14 tahun, bergantung kepada sistem pendidikan.
Ia memberi fokus kepada tiga subjek utama, iaitu Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua.
Ciri-ciri utama keputusan peperiksaan ini adalah bentuk band, daripada Band 0 hingga kepada Band 6, dengan Band 6 sebagai pencapaian Tertinggi, iaitu cemerlang Tertinggi.
Sebanyak lima sekolah seumpama itu bakal ditubuhkan oleh Kerajaan Sarawak sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk menyediakan pendidikan bertaraf antarabangsa.
Dua di Kuching sudah beroperasi, dan masing-masing satu di Sibu, Bintulu dan Miri dijangka beroperasi pada 2026.
Ia menawarkan kurikulum Cambridge, diiktiraf di peringkat global serta dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden seperti makmal sains, pusat sumber, dan bilik darjah pintar untuk menyokong pengalaman pembelajaran interaktif.
Matlamat utamanya adalah untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dari segi akademik, sahsiah, dan kemahiran abad ke-21.
Kos yuran pengajiannya ditetapkan mengikut struktur subsidi, dengan pelajar yang layak menerima bantuan daripada Yayasan Sarawak pada kadar lebih berpatutan.
Langkah ini memastikan lebih ramai pelajar berbakat, terutama daripada golongan kurang berkemampuan dan B40, mendapat peluang pendidikan bertaraf antarabangsa, seterusnya melahirkan barisan pemimpin masa hadapan yang kompeten dan berdaya saing di peringkat global.



