KUCHING: Muzik koir bukan sekadar tentang nyanyian, tetapi merupakan satu disiplin yang mengajar bahawa kejayaan dapat dicapai melalui usaha yang konsisten dan latihan yang berterusan, kata Pengerusi Persatuan Koral Kuching (KCS), Benedict Lo.
Beliau berkata, sebagai pengarah koir juga beliau sering ditanya mengapa memperuntukkan begitu banyak masa untuk muzik koir.

Justeru, katanya, jawapan beliau sentiasa mudah kerana peserta belajar mengenai kerja berpasukan – tiada satu suara yang lebih penting daripada yang lain.
“Mereka belajar untuk mendengar, bukan sahaja suara sendiri, malah suara mereka yang berada di sekeliling dan turut mempelajari nilai tanggungjawab, komitmen, ketabahan serta saling menghormati.
“Apa yang paling penting, mereka belajar tentang empati. Menyanyi dalam sebuah koir mengajar kita untuk bernafas bersama, mendengar bersama dan berusaha mencapai satu matlamat yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis An Evening of Choral Friendship di Sekolah Menengah Swasta St. Joseph, di sini.
Tambahnya, nilai-nilai tersebut merupakan bekalan yang amat berharga kepada generasi muda, jauh melangkaui pentas persembahan.
“Apabila setiap penyanyi menyumbangkan suara masing-masing, lahirlah sesuatu yang indah yang tidak mungkin mampu dicapai oleh seseorang secara bersendirian.
“Saya percaya, inilah antara pengajaran paling bermakna dalam kehidupan,” ujarnya.
Menyentuh mengenai penganjuran majlis itu, beliau menyatakan pihaknya berbesar hati menerima kehadiran Gondwana Youth Choir dari Australia.
“Terima kasih kerana memilih untuk berkongsi muzik, persahabatan dan semangat bersama kami. Kami berharap pengalaman anda di Kuching akan menjadi kenangan yang indah dan pulang dengan memori yang bermakna serta persahabatan yang berkekalan.
“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada koir kita sendiri iaitu SJPS Chamber Choir dan SJPPS Children’s Choir. Komitmen, disiplin dan semangat yang anda tunjukkan telah menjadikan malam persembahan tersebut satu kenyataan,” jelasnya.







