KOTA SAMARAHAN: Pembinaan Kolej Tingkatan Enam Kota Samarahan sedang dilaksanakan dan dijangka siap menjelang 2028, sekali gus menempatkan pelajar prauniversiti dari seluruh bahagian ini.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang berkata, kolej berkenaan diwujudkan untuk menangani kekurangan kemudahan serta kepadatan pelajar khususnya Tingkatan Enam di sekolah menengah sekitar Bahagian Kota Samarahan.

Katanya, permohonan pembinaan kolej itu diperjuangkan sejak 2014 sebelum diluluskan pada 2022, manakala kerja pembinaannya sedang berjalan dengan tempoh pelaksanaan selama 24 bulan bermula tahun ini.
“Justeru, Kolej Tingkatan Enam ini juga akan menempatkan semua pelajar prauniversiti termasuk dari Sebuyau, Asajaya dan seluruh Kota Samarahan,” katanya.
“Dengan adanya kolej tersebut juga, kepadatan pelajar di sekolah menengah termasuk di SMK Kota Samarahan dapat dikurangkan secara berperingkat-peringkat, selain menyediakan persekitaran prauniversiti yang lebih baik, ceria dan lengkap,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Nyambung Blaja 2026 @ Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) anjuran Persatuan Mahasiswa Sarawak Universiti Malaya (PMSUM), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Rubiah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan menambah bahawa kolej itu juga akan menawarkan dua aliran utama iaitu Sains dan Sastera bagi memenuhi keperluan pendidikan prauniversiti pelajar di bahagian ini.
Menurutnya, aliran Sains Tingkatan Enam ketika ini dipusatkan di SMK Muara Tuang yang turut menempatkan pelajar dari Asajaya, namun kemudahan baharu itu kelak membolehkan semua pelajar berkenaan dihimpunkan di satu lokasi.
“Banyak kemudahan termasuk makmal akan disediakan di kolej berkenaan bagi menyokong keperluan pembelajaran pelajar serta menyediakan persekitaran prauniversiti yang lebih baik dan lengkap,” ujarnya.
Untuk rekod, Kolej Tingkatan Enam Kota Samarahan dibina di kawasan berhampiran SMK Kota Samarahan dan Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak (IPGKTAR).
Terdahulu mengenai program Nyambung Blaja, Rubiah memaklumkan bahawa program tersebut bukan sekadar memperkenalkan peluang pendidikan, malah menjadi ruang untuk anak-anak mula merangka hala tuju masa hadapan.
“Sebenarnya, selepas SPM terdapat begitu banyak jalan yang terbuka untuk anak-anak lepasan sekolah.
“Ada tawaran universiti, TVET, bidang kemahiran, STEM, teknologi, keusahawanan dan pelbagai lagi pilihan yang mungkin sebahagiannya belum pernah diterokai oleh mereka,” katanya.
“Selepas sekolah, jangan berhenti di situ sahaja.
“Nyambung (sambung) belajar, nyambung mencari ilmu, nyambung mencari pengalaman dan paling penting, nyambung membina masa hadapan,” tegasnya.






