Komited jadi pengeksport makanan bersih

LIMBANG: Peruntukan untuk Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Manred) meningkat sebanyak 37 peratus berbanding tahun lepas.

Menteri Muda Manred Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, peningkatan peruntukan tersebut menunjukkan bahawa Kerajaan Sarawak komited untuk menjadikan negeri ini sebagai pengeksport makanan bersih pada 2030.

Ujarnya, beliau menyambut baik peruntukan tersebut seperti yang dibentangkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari dalam Persidangan Dun Sarawak baru-baru ini.

Dr Abdul Rahman Ismail

“Pada 2020 jumlah peruntukannya adalah RM797 juta meningkat sebanyak 37 peratus pada 2021,” katanya, Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan kerja Tapak Projek dan Bantuan Jabatan Pertanian Bahagian Limbang di Kampung Limpaki, baru-baru ini. Adun Bukit Kota itu berkata, projek pembangunan di Kampung Limpaki berjalan lancar.

Menurutnya, kampung itu telah menerima peruntukan berjumlah RM150,000 bagi menaik taraf jalan pertanian sepanjang satu kilometer dan mewujudkan Projek Agro Makanan.

“Alhamdulillah sekarang projek ini dalam pelaksanaan dan kita pasti dengan siapnya jalan ini kelak akan memudahkan petani membawa keluar produk utama mereka iaitu kelapa pandan.

“Untuk Projek Agro Makanan di Kampung Limpaki pada tahun 2019, ada seorang peserta dan pada tahun ini juga ada seorang peserta, masing-masing menerima bantuan input seperti mesin dan sebagainya berjumlah RM30,000 seorang. Jadi untuk 2019 dan 2020 kesemuanya RM60,000,” jelasnya.

Tambah beliau, tiga lagi projek telah dikenal pasti akan dilaksanakan di kampung Limpaki pada tahun hadapan.

“Untuk tahun depan (2021), kita telah mengenal pasti tiga projek untuk Kampung Limpaki iaitu naik taraf Dewan Kampung Limpaki berjumlah RM50,000, pembinaan parit konkrit di kawasan Taman Gelagah Limpaki kita anggarkan bernilai RM200,000 dan naik taraf jalan kampung melalui peruntukan PIA PIAS berjumlah RM150,000,” ujarnya.

Kampung Limpaki juga menerima projek menaik taraf jalan kubur bernilai RM200,000 pada 2020 melalui peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Turut hadir Pegawai Pertanian Bahagian Limbang Jafaruddin Ali, Jurutera Bahagian Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Limbang Anisah Ahmad, Penghulu Sahat Bagol dan Ketua Kampung Limpaki Montel Berahim.

Suara Sarawak