SARIKEI: Kerajaan Sarawak terus memperlihatkan komitmen tinggi terhadap kesejahteraan golongan warga emas melalui pelbagai program khas dan kemudahan yang disediakan bagi memastikan golongan ini sentiasa dihargai serta mendapat perhatian sewajarnya.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii, berkata Sarawak memperkenalkan pelbagai inisiatif khusus untuk warga emas, menandakan kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan keperluan mereka.


Menurutnya, usaha itu juga mencerminkan tekad kerajaan dalam membudayakan sikap prihatin dan penyayang dalam kalangan masyarakat setempat, selaras dengan matlamat mewujudkan komuniti lebih harmoni.
Antara program yang dilaksanakan ialah Kenyalang Gold Card (KGC) yang memberikan pelbagai manfaat kepada pemegangnya, termasuk potongan harga, diskaun barangan dan perkhidmatan serta pengecualian pembiayaan tertentu.

“Golongan ini banyak menyumbang jasa dan pengalaman yang menjadi panduan generasi muda. Sebab itu kita mesti menghormati serta terus berbuat baik kepada mereka,” katanya ketika merasmikan Malam Muhibbah Warga Emas dan sambutan Pesta Kuih Bulan di sini, hari ini.
Tiong Sii menegaskan, penghargaan terhadap warga emas bukan sekadar pengiktirafan, sebaliknya satu usaha membentuk masyarakat yang menghargai budi dan jasa generasi terdahulu.
Budaya ini, ujarnya, secara tidak langsung membantu memperkukuh kestabilan sosial, politik dan ekonomi negeri serta menjadi contoh teladan kepada generasi akan datang.
Beliau yakin dengan kerjasama semua pihak, lebih banyak program mesra warga emas dapat dirancang dan dilaksanakan pada masa depan demi memperluas manfaat yang diterima mereka.
Katanya lagi, usaha berterusan ini menunjukkan kerajaan negeri bukan sahaja menitikberatkan pembangunan fizikal tetapi turut mengutamakan aspek kebajikan rakyat, khususnya golongan berusia yang perlu terus disantuni.







