ARTIKEL

Kompas Malaysia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PADA malam Khamis lepas, saya tampil bersama-sama dua lagi ahli panel lain melalui program Dialog Tiga Penjuru di Astro Awani, Tajuk yang dikemukakan “MA63: Naratif Nasional, Bukan Isu Wilayah.” Dalam program sejam itu dengan moderatornya Lokman Hariz, kami memperkatakan pelbagai isu bersangkutan termasuk cara mencapai impian tersebut dan pertambahan kerusi serta implikasinya.

Sesungguhnya, setiap kali menjelang 16 September, kita akan mendengar ungkapan yang hampir sama – Hari Malaysia bukan sekadar cuti umum. Namun, selepas tirai pentas sambutan dilabuh, lampu dipadamkan dan bendera disimpan, sejauh manakah makna tarikh bersejarah itu benar-benar meresap dalam pemikiran seluruh rakyat rakyat?

Inilah persoalan yang wajar kita renungkan. Hari Malaysia tidak seharusnya hidup sehari dalam setahun. Begitu juga Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak boleh dibicarakan hanya apabila timbul pertikaian mengenai hak, hasil petroleum, peruntukan pembangunan atau jumlah kerusi Parlimen. Kedua-duanya perlu dijadikan agenda dan wacana nasional yang berterusan. Ini bukan soal keistimewaan, tetapi hak yang perlu ditunaikan.

Malaysia dibentuk pada 16 September 1963 melalui penyertaan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Singapura meninggalkan Malaysia pada 1965, tetapi asas pembentukan negara kekal penting. Tanpa peristiwa 16 September, tidak akan wujud Malaysia seperti yang kita kenali hari ini. Tanpa Sarawak dan Sabah, tidak ada Malaysia.

Malaysia dibentuk hasil persefahaman, perundingan dan persetujuan semua pihak terbabit, termasuk hak dan perlindungan untuk Sabah dan Sarawak. Jadi, hak berkenaan bukan keistimewaan, tetapi suatu kontrak politik dan sosial yang dari segi tanggungjawabnya, wajar dan wajib dipenuhi oleh sesiapa sahaja yang menjadi Perdana Menteri.

Oleh itu, kita perlu membetulkan kefahaman bahawa Hari Malaysia hanyalah “perayaan Sabah dan Sarawak”. Tanggapan sedemikian bukan sahaja tidak tepat dari segi sejarah, malah mengecilkan makna kelahiran negara. Hari Malaysia ialah hari milik seluruh rakyat, dari Perlis hingga ke Sabah. Lagipun, semua hak itu, termaktub dalam pelbagai macam dokumen keramat, dan dalam Perlembagaan Malaysia dan Akta Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan perkara ini dengan tegas ketika sambutan Hari Malaysia 2026 di Kuching: “MA63 itu wa’ad nasional, tanggungjawab nasional, mesti dijawab secara nasional.” Beliau turut mengingatkan bahawa masalah tidak akan selesai selagi masih ada, khususnya di Semenanjung, yang menganggap MA63 sebagai urusan Sabah dan Sarawak semata-mata.

Ungkapan “wa’ad nasional” itu amat penting. MA63 bukan tuntutan pinggiran, bukan senarai permintaan tambahan dan bukan pula pertandingan menentukan siapa memperoleh lebih banyak. Ia lahan janji pembentukan negara. Apabila janji itu ditunaikan, bukan Sabah dan Sarawak sahaja yang menang; Malaysia seluruhnya menjadi lebih kukuh, maju dan makmur.

Selama ini, isu berkenaan menjadi duri dalam daging, dan perundingan sudah berlarutan lebih 20 tahun, dengan pelbagai jawatankuasa ditubuhkan. Sudah sampai masanya semua itu dilaksanakan. Memang, setakat ini, 13 hak telah dipenuhi, lima pada peringkat interim, dan 11 lagi dalam perundingan lanjut.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pula berulang-kali menegaskan bahawa MA63 tidak diwujudkan untuk melemahkan Persekutuan, tetapi untuk memperkukuhnya. Pendekatan ini matang dan berpendangan jauh. Mempertahankan hak Sarawak tidak bererti menentang Kuala Lumpur; memperjuangkan pelaksanaan perjanjian bukanlah ancaman pemisahan, sebaliknya usaha memastikan asas Persekutuan terus dihormati.

Kita tidak seharusnya melihat MA63 sebagai permainan menang-kalah. Kita tidak seharusnya berfikir bahawa apabila Sabah dan Sarawak memperoleh lebih banyak kuasa, hasil atau perwakilan, Semenanjung akan kehilangan sesuatu. Itu cara berfikir yang sempit dan tidak memahami aspirasi di sebelah semua perjanjian berkenaan. Malaysia yang seimbang dari segi pembangunan akan menjadi Malaysia yang lebih stabil, makmur, saksama, harmoni dan terintegrasi. Apabila wilayah yang masih ketinggalan dipercepat pembangunannya, ekonomi negara keseluruhannya turut berkembang.

Bak kata peribahasa, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Semangat Persekutuan menuntut kita berkongsi bukan sahaja kemakmuran, tetapi juga tanggungjawab. Jurang pembangunan, keadaan sekolah daif, kekurangan kemudahan kesihatan, masalah jalan raya serta capaian Internet di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak bukan masalah tempatan semata-mata. Semua itu ialah masalah nasional.

Bagaimanakah Hari Malaysia dan MA63 benar-benar dapat dijadikan agenda nasional? Sejarah pembentukan Malaysia perlu diajarkan dengan lebih lengkap di sekolah. Generasi muda mesti mengenali peranan pemimpin seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Tun Abang Openg, Temenggong Jugah, Tun Datu Mustapha, dan Tun Fuad Stephens. Mereka perlu memahami rundingan, kebimbangan serta harapan yang melatari pembentukan Malaysia.

Sambutan Hari Malaysia perlu diperluas dan digilirkan secara lebih bermakna di seluruh negara, termasuk di negeri-negeri Semenanjung. Memang, sebelum ini sambutan berkenaan pernah diadakan di Melaka dan Pulau Pinang. Bayangkan jika sambutan nasional diadakan di Johor, Kedah, Kelantan atau Selangor dengan pameran sejarah Sabah dan Sarawak, persembahan kebudayaan Borneo serta forum mengenai MA63. Dengan cara itu, 16 September akan keluar daripada lingkaran upacara dan masuk ke ruang kesedaran rakyat secara menyeluruh, dan tidak lagi terkurung di Sabah dan Sarawak sahaja.

Media nasional perlu memainkan peranan lebih besar. MA63 jangan hanya menjadi berita yang perlu dibingkaikan dan dijadikan agenda utama apabila berlaku pertikaian. Stesen televisyen, akhbar, portal berita dan platform digital perlu menghasilkan dokumentari, wawancara, audio siar dan infografik yang mudah difahami. Isu seperti penurunan kuasa, geran khas, pembangunan infrastruktur dan perwakilan Parlimen perlu diterangkan tanpa bahasa perundangan yang terlalu rumit.

Kemajuan pelaksanaan MA63 perlu dibentangkan melalui sebuah papan pemuka awam. Rakyat berhak mengetahui perkara yang telah diselesaikan, perkara yang sedang dirundingkan, pihak yang bertanggungjawab dan tempoh penyelesaiannya. Ketelusan akan mengurangkan prasangka, syak wasangka dan salah faham serta mengelakkan isu ini dimanipulasi untuk agenda dan motif kepentingan politik pihak tertentu, yang akhirnya dapat memecahbelahkan rakyat dan wilayah terbabit.

Dialog mengenai MA63 perlu melibatkan universiti, badan pemikir, pertubuhan belia dan masyarakat sivil dari seluruh negara. Wacana itu tidak boleh dimonopoli ahli politik. Kita memerlukan suara ahli sejarah, penganalisis politik, pakar perlembagaan, ahli ekonomi, pendidik dan generasi muda.

Seperti kata peribahasa, “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.” Malaysia tidak akan menjadi kuat hanya kerana kita mengibarkan Jalur Gemilang bersama-sama. Negara menjadi kuat apabila sejarahnya difahami, perjanjiannya dihormati dan rakyatnya dilayan secara adil.

Sudah tiba masanya Hari Malaysia berdiri sama tinggi dengan Hari Kebangsaan dalam jiwa seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama dan negeri. Sudah tiba masanya MA63 bergerak dari pinggir ke tengah wacana negara. Hari Malaysia, Sabah dan Sarawak, tidak harus menjadi subaltern dan ‘yang lain’ atau the Others, sebaliknya berada di tengah pentas wacana nasional. Jangan biarkan 16 September sekadar satu tarikh merah dalam kalendar kita. Jadikanlah tarikh itu cermin untuk kita melihat asal usul negara, kompas untuk menentukan arah masa depan dan janji bahawa tiada wilayah serta rakyat Malaysia akan dibiarkan berjalan sendiri.

• Dato Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik yang sering ditampilkan melalui pelbagai program TV sejak puluhan tahun lalu untuk bercakap tentang Hari Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963.

BERITA LAIN

Menyelamat ingatan, menjejak ilmu dan sejarah

SEJARAH bukan sekadar kisah masa lalu. Ia adalah bukti tentang siapa kita, bagaimana keputusan dibuat dan mengapa sesuatu peristiwa berlaku. Namun, sejarah boleh hilang apabila

Dapur rumah di awan biru

PETANG Ahad, saya terbang ke Kuala Lumpur dari Kuching menggunakan pesawat milik kita rakyat Sarawak — AirBorneo. Selama ini, saya banyak menyunting pengalaman rakyat Sarawak

BERITA TERBARU