LION Nursing Home Kuching akan mengadakan Pesta Jualan Makanan pada 7 Disember ini dalam usaha mengumpul dana bagi penyelenggaraan pusat jagaan warga emas tersebut.
Jualan bermula jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dan menyasarkan kutipan sebanyak RM450,000.
Setakat ini, sebanyak RM312,178 berjaya dikumpul hasil sokongan pelbagai pihak.
Pengerusinya, Datin Ellis Suriyati Omar, berkata penganjuran pesta jualan itu juga bersempena ulang tahun ke-33 Lion Nursing Home yang berkhidmat kepada warga emas sejak 1991.
Katanya, momentum sokongan masyarakat setiap tahun memberi semangat kepada pihaknya untuk meneruskan tradisi mengumpul dana melalui pesta jualan.
“Tujuan kita mengumpulkan jumlah dana tersebut, yang agak besar berbanding tahuntahun sebelumnya, adalah untuk menggantikan dan menaik taraf lantai lama rumah bagi memenuhi piawaian Kementerian Kesihatan.
“Selain itu, ia bertujuan untuk membuat pendawaian semula sistem elektrik rumah yang mematuhi piawaian keselamatan,” katanya pada sidang media Pesta Jualan Makanan Lion Nursing Home pada Rabu lalu.
Menurut beliau, kerja menaik taraf itu perlu dilakukan segera memandangkan sebahagian struktur bangunan telah mencecah usia lebih tiga dekad dan penggunaan harian yang tinggi menuntut penyelenggaraan berterusan.
Ellis berkata aspek keselamatan penghuni menjadi keutamaan kerana rumah jagaan itu menempatkan warga emas yang memerlukan perhatian rapi.
Selain menaik taraf lantai dan sistem pendawaian, dana itu juga akan digunakan untuk meningkatkan kecekapan kamera litar tertutup serta beberapa kemudahan lain seperti sistem pengudaraan, peralatan bilik rawatan dan ruang aktiviti.
Semua ini, katanya, penting bagi memastikan penghuni menikmati suasana yang lebih selesa dan selamat.
Beliau menjelaskan bahawa pada tahun sebelumnya, Lion Nursing Home hanya menyasarkan kutipan antara RM200,000 hingga RM250,000 bagi menanggung kos operasi asas.
Namun, peningkatan kos bahan binaan, penyelenggaraan dan keperluan keselamatan menjadikan jumlah sasaran tahun ini lebih besar.
Setakat ini, pihaknya berjaya mendapatkan sebahagian kutipan dana menerusi jualan kupon tiket, sumbangan ahli Lion Club, derma individu perseorangan serta pelawat yang hadir ke premis tersebut. Sokongan itu, katanya, menjadi petanda bahawa masyarakat masih prihatin terhadap kebajikan warga emas.
Sehubungan itu, Ellis menyeru orang ramai, termasuk syarikat korporat untuk hadir ke Pesta Jualan Makanan Lion Nursing Home dan menyumbang mengikut kemampuan masingmasing. Beliau percaya bahawa kesedaran kolektif mampu membantu pusat jagaan itu menambah baik kemudahan demi keselesaan penghuni.
Sementara itu, pengerusi penganjur, Jeff Lee Jiong Khai, berkata sebanyak 90 gerai akan dibuka Pesta jualan untuk kebajikan sempena pesta berkenaan.
Gerai itu menawarkan pelbagai jenis makanan, minuman serta jualan lain yang dikendalikan oleh ahli kelab, sukarelawan dan rakan kerjasama.
Katanya, kepelbagaian gerai adalah antara faktor yang menarik pengunjung saban tahun kerana ia bukan sahaja menjadi medan mengumpul dana, tetapi juga ruang pertemuan komuniti. Pesta jualan ini menjadi platform mendekatkan masyarakat dengan usaha kebajikan yang dilakukan Lion Nursing Home.
Jeff berkata pihaknya melaksanakan pelbagai strategi bagi mencapai sasaran kutipan.
Antaranya, menjual buku kupon yang disokong oleh ahli Lion Club dari pelbagai cawangan serta sumbangan yang diterima daripada badan bukan kerajaan (NGO).
Beliau yakin sasaran RM450,000 boleh dicapai dengan sokongan berterusan masyarakat.
Menurutnya, pesta ini bukan sekadar jualan makanan, tetapi merupakan usaha bersama untuk memastikan Lion Nursing Home terus berdiri kukuh dan relevan dalam memberi perlindungan kepada warga emas.
Dengan sokongan sukarelawan, penaja dan pengunjung, mereka berharap dapat melengkapkan kerja-kerja penyelenggaraan sebelum tahun baharu.

