USAHA Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) menerusi kerjasama Saberkas Cawangan Sadong Jaya dan Pusat Khidmat N.24 Sadong Jaya menganjurkan Program Hari Cuci Malaysia 2026 di pekan warisan Sadong Jaya baru-baru ini amat signifikan.
Program berkenaan bukan sahaja menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan serta kelestarian alam sekitar, secara tidak langsung dapat membentuk rasa tanggungjawab dalam kalangan komuniti untuk mengamalkan budaya menjaga kebersihan yang merangkumi pelbagai aspek.
Syarikat Timuran Kembangan Sdn. Bhd. merupakan antara pihak yang turut terlibat menjayakan program berkenaan.
Pengarah Urusannya, Datuk Johnny Ting Su King mengakui teruja apabila diberikan peluang untuk menjayakan program tersebut bersama-sama komuniti di Daerah Kecil Sadong Jaya.
“Pihak kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada jawatankuasa pengelola program berkenaan kerana memberikan kesempatan kepada Timuran Kembangan Sdn. Bhd. untuk turut terlibat,” katanya Johnny kepada Suara Sarawak.

Menurut Johnny, kerjasama semua pihak yang terlibat dalam program itu amat membanggakan, terutamanya dalam aktiviti membersihkan kawasan sekitar dan mengumpul barangan yang boleh dikitar semula.
“Barangan yang dikumpul kemudiannya dihantar kepada pihak kami, Timuran Kembangan Sdn. Bhd., untuk dikitar semula,” tambahnya.
Kempen tersebut merangkumi pelbagai inisiatif berbentuk praktikal dan pendidikan bagi memastikan kelestarian alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang.
Tegas Johnny, pelaksanaan kempen sedemikian amat penting yang secara tidak langsung dapat mendidik komuniti supaya lebih bertanggungjawab.
“Kami percaya kempen seumpama ini turut meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan memelihara alam sekitar secara mampan.
“Diharapkan pelaksanaan kempen seperti ini dapat menjadi pemangkin kepada perubahan positif dalam usaha mewujudkan alam sekitar yang lebih bersih, lestari dan terpelihara,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, program berkenaan turut memberikan pelbagai impak positif, termasuk menyediakan pendidikan berterusan serta memupuk kefahaman tentang perubahan iklim dan isu berkaitan.

“Amalan seumpama ini dapat memupuk sikap lebih bertanggungjawab bermula pada peringkat akar umbi,” katanya.
Pihaknya turut merakamkan ucapan terima kasih kepada jawatankuasa pengelola program berkenaan atas peluang yang diberikan untuk menjayakannya.
“Pihak kami bersedia menjalin kerjasama sekiranya program seumpama itu dilaksanakan pada masa akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Ismawi Abang Ali berkata, Program Hari Cuci Malaysia Peringkat MPKS di pekan warisan Sadong Jaya mampu menjadi platform untuk memperkukuh kesedaran dan pelibatan masyarakat dalam menjaga kebersihan serta kelestarian persekitaran.
Katanya, program seumpama itu amat bermakna dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan persekitaran secara berterusan.
“Program seperti ini amat bermakna kerana bukan sahaja melibatkan aktiviti membersihkan kawasan, malah turut membentuk kesedaran dan rasa tanggungjawab dalam kalangan masyarakat untuk menjaga kebersihan persekitaran.
“Usaha menjaga kebersihan tidak boleh dilakukan sekali-sekala, sebaliknya perlu dijadikan amalan berterusan dengan pelibatan dan kerjasama semua pihak,” ujarnya.
Beliau menegaskan, kerjasama erat pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan dan komuniti amat penting bagi memastikan persekitaran sentiasa bersih, selamat dan selesa untuk didiami.
Program berkenaan turut dilaksanakan secara serentak di beberapa kampung sekitar Sadong Jaya dengan pelibatan aktif pelbagai lapisan komuniti setempat, termasuk warga emas dan pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sadong Jaya.
Turut mengambil bahagian ialah warga Balai Bomba Daerah Asajaya, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Kecil Sadong Jaya serta Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan.
Selain aktiviti gotong-royong, program berkenaan turut diserikan dengan Kempen Beli Balik Barangan Kitar Semula serta pameran kesihatan yang memberikan peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat berkaitan amalan kitar semula dan penjagaan kesihatan.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zainuddin Bidin, serta Timbalan Ketua Cawangan N.24 Sadong Jaya, Kaunselor Abdul Mutalip Julaihi.



