USAHA untuk terus memelihara sukan tradisional perlu diperkasakan.
Langkah itu bukan sahaja mampu mengekalkan populariti khazanah yang menjadi kebanggaan masyarakat setempat, malah berupaya menjadi rujukan kepada generasi muda serta berpotensi menjadi tarikan umum semasa penganjuran sesuatu temasya atau program.
Demikian dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) merangkap Ketua Kaum Kampung Moyan Ulu Lot, Asajaya, Arman Senusi.
Menurut Arman, beliau menzahirkan rasa teruja terhadap usaha jawatankuasa pengelola yang menganjurkan Karnival Sukan Rakyat 3.0 Kampung Moyan Ulu Lot, Asajaya 2026 baru-baru ini.
Katanya, penganjuran karnival tersebut secara tidak langsung memperlihatkan komitmen pihak berkenaan untuk terus memelihara khazanah sukan tradisional menerusi penganjuran program berkenaan pada 1 Januari lalu.
“Satu kebanggaan bagi kami, khususnya penduduk Kampung Moyan Ulu Lot, Asajaya, apabila Karnival Sukan Rakyat 3.0 dapat dianjurkan pada tahun ini.
“Lebih membanggakan, acara sukan tradisional sememangnya tidak pernah terpinggir dan sentiasa diberi tempat untuk dipertandingkan,” ujar Arman.
Karnival yang berlangsung selama sehari itu nyata meriah dan menyaksikan pembabitan masyarakat kampung daripada pelbagai peringkat umur yang menjayakan pertandingan sukan tradisional yang dipertandingkan.
Setiausaha JKKK Kampung Moyan Ulu Lot, Asajaya, Zaimie Putit, menyifatkan penganjuran karnival ini sebagai cukup signifikan.
Menurut Zaimie, penganjuran karnival tersebut bukan sahaja menjadi landasan terbaik untuk memelihara keharmonian masyarakat setempat, malah berperanan sebagai medan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk kampung.
“Penganjuran Karnival Sukan Rakyat 3.0 ini amat bertepatan kerana bukan sahaja berjaya menghimpunkan penduduk kampung, malah berperanan mengeratkan hubungan silaturahim serta memberi pendedahan kepada generasi muda atau anak jati Kampung Moyan Ulu Lot, Asajaya,” katanya.
Karnival Sukan Rakyat 3.0 yang diadakan di padang bola sepak Kampung Moyan Ulu Lot, Asajaya itu berlangsung dengan penuh kemeriahan.
Pelibatan masyarakat kampung daripada pelbagai peringkat umur, selain penganjuran acara sukan tradisional yang berlangsung sepanjang hari, menjadi penyumbang utama kepada kemeriahan luar biasa program berkenaan.
Telatah serta gelagat peserta yang terlibat dalam beberapa acara sukan yang disertai jelas mencuit hati para penonton.
Terdahulu, Zaimie turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua penduduk kampung yang terlibat atas sokongan dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan penganjuran karnival sukan berkenaan.
“Pihak kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang, serta semua penduduk kampung atas sokongan dan kerjasama yang diberikan,” ujar Zaimie.
Antara sukan tradisional yang dipertandingkan ialah selipar kaki tiga, rondes, galah panjang, tarik upih, ongko, melastik dan banyak lagi.
Tamat saingan menyaksikan Blok 1 berjaya dinobatkan sebagai juara, manakala Blok 2 di tempat kedua dan Blok 3 di tempat ketiga.
Menurut Zaimie, penganjuran karnival sukan berkenaan menjadi penyeri suasana sempena sambutan tahun baharu 2026.
“Kami percaya penganjuran karnival seperti ini dapat memastikan sukan tradisional terus terpelihara,” jelasnya.
Sementara itu, wakil pasukan Blok 1 menzahirkan rasa gembira atas kejayaan yang diraih pada karnival berkenaan.
Katanya, kejayaan muncul sebagai juara pada karnival terbabit adalah hasil usaha serta kerja keras semua ahli pasukan.
“Syabas dan tahniah kepada semua ahli pasukan.
Semangat juang yang dipamerkan oleh anda semua menjadi penyumbang kepada kejayaan yang penuh bermakna ini,” katanya.
Beliau berharap reputasi cemerlang tersebut dapat dikekalkan bagi memastikan Blok 1 terus mendominasi gelaran juara pada masa akan datang.



