KUCHING: Kos tinggi yang dikenakan menerusi Pendekatan Transformasi Pekerja Asing (FWTA) menjadi antara tiga isu utama yang diketengahkan Persatuan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Sarawak (ACCCIS) dalam Memorandum Isu Semasa yang diserahkan kepada Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, hari ini.
Memorandum itu diserahkan sempena kunjungan hormat delegasi ACCCIS kepada Premier di pejabatnya, Kompleks Satria Pertiwi, bagi menyampaikan kebimbangan serta cadangan daripada komuniti perniagaan di Sarawak.
Selain FWTA, memorandum berkenaan turut memberi tumpuan kepada ancaman yang semakin membimbangkan akibat kegiatan perjudian haram dan penyalahgunaan dadah, serta cabaran yang timbul daripada pelaksanaan mekanisme subsidi diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Dalam memorandum itu, ACCCIS turut mengemukakan beberapa cadangan yang bertujuan mengurangkan kos operasi serta meningkatkan daya saing perniagaan, di samping menyokong pertumbuhan ekonomi mampan di Sarawak.
Pertemuan itu berlangsung dalam suasana positif dan membina, dengan kedua-dua pihak mengadakan perbincangan serta pertukaran pandangan mengenai isu utama yang memberi kesan kepada sektor perniagaan di Sarawak.
ACCCIS turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas komitmen berterusan dalam memacu pembangunan ekonomi serta mengucapkan terima kasih kepada Premier atas kesediaan beliau mendengar kebimbangan dan pandangan komuniti perniagaan.
Pada masa sama, ACCCIS menegaskan sokongan penuh terhadap agenda pembangunan Kerajaan Sarawak dan berharap dapat meneruskan kerjasama erat dengan kerajaan bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif serta memastikan kemakmuran jangka panjang negeri ini.
Delegasi ACCCIS diketuai Presidennya, Kong Chiong Ung, bersama Naib Presiden, Dato Tan Jit Kee dan Datuk Wee Kok Hui; Setiausaha Agung, Dato Chai Voon Tok; Timbalan Setiausaha Agung, Andy Yek Hock Siang; Bendahari, Noel Yek Nae Shiuan; Ahli Majlis, Ling Kie King; serta Ahli Jawatankuasa Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bintulu, Jacky Yong Ka Yein.






