Kongsi fakta tepat dalam negeri

KUCHING: Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas) Abdullah Saidol menafikan tuduhan tidak berasas dan tidak beretika yang dibuat oleh Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen yang menuduh Ukas sebagai ejen pengilang berita palsu Kerajaan Sarawak.

Beliau turut mencabar Chieng Jen membuktikan perkara tersebut dengan merujuk kepada berita yang telah dihasilkan oleh Ukas sebelum ini yang beliau anggap sebagai berita palsu. “Agensi Kerajaan Persekutuan seperti Penerangan, RTM dan agensi lain yang dikendalikan oleh Menteri PH telah “menghitamkan” secara terang-terangan hampir semua berita penting mengenai pelbagai inisiatif dan perkembangan yang disampaikan oleh Kerajaan Sarawak,” tegasanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya tindakan tersebut bukan untuk memberi manfaat kepada orang Sarawak, namun ia berniat untuk melepaskan Kerajaan Sarawak yang dipilih dan bertujuan untuk mencapai misi mereka memastikan Sarawak akan ditadbir oleh PH pada masa akan datang.

“Telah dilaporkan bahawa seorang ahli politik dari PH Sarawak berkata secara terbuka yang menyatakan bahawa, “jika tidak berbohong, mereka tidak dapat menang”,” tegasnya.

Katanya Ukas ditubuhkan untuk menyebarkan dan berkongsi pelbagai perkembangan dan faktafakta yang tepat mengenai pelbagai inisiatif oleh Kerajaan Sarawak di negeri ini.

“Sekiranya Chieng Jen atau mana-mana ahli politik PH Sarawak mendapati bahawa sebarang usaha atau maklumat yang diterbitkan oleh Ukas mengandungi “berita palsu”, maka mereka bebas untuk menentang perkara yang disebut “berita palsu” itu.

“Chieng Jen juga tidak gembira dengan GPS yang mampu menyampaikan semua perkara yang baik untuk orang Sarawak, manakala Kerajaan Persekutuan dilihat gagal menyampaikan apaapa yang mengagumkan dan bukan seperti apa yang dijanjikan oleh DAP selepas PH memerintah,” katanya.

Tambahnya, GPS telah keluar dari Barisan Nasional dan menjadi Kerajaan Sarawak yang sah hingga kini, dan GPS juga tidak pernah mengumumkan akan menyertai sebarang pakatan “tidak suci” dengan mana-mana pihak. “GPS bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan jika semua maksud dan tujuan utama mereka adalah untuk memberi manfaat kepada rakyat Sarawak.

Ini kerana kita perlu menjadi kerajaan yang berfikiran matang sejak dibentuk bersama-sama di bawah Perjanjian Malaysia 1963 dan menghormati Perlembagaan Persekutuan. “Sejarah membuktikan bahawa DAP sentiasa bersedia untuk terlibat dengan mana-mana persekutuan “tidak suci” dengan mana-mana pihak selama tempoh tersebut yang hanya mahu memenuhi manfaat kepada agenda politik mereka,” katanya.

Beliau meminta rakyat Sarawak agar tegas menolak amalan politik yang jahat dan bersatu sebagai rakyat Sarawak yang berbilang kaum dan latar belakang.

Suara Sarawak