SEBAGAI usaha untuk menyemarakkan semangat Ramadan dan memperkukuh ukhuwah sesama warga kerja serta masyarakat setempat, Lembaga Getah Malaysia (LGM) Wilayah Sarawak dan Sabah menganjurkan program Agihan Bubur Lambuk secara gotong-royong di pekarangan pejabat LGM baru-baru ini.
Menurut Pengarah LGM Wilayah Sarawak dan Sabah, Ismail Ibrahim, program ini memasuki tahun ketiga penganjuran bertujuan bukan sahaja untuk berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan, tetapi juga mengeratkan hubungan antara kakitangan LGM dengan komuniti setempat.
“Tahun ini, sebanyak 400 bungkus bubur lambuk dan 185 bungkus acar limau berjaya disediakan dan diagihkan kepada warga LGM, premispremis kerajaan berhampiran seperti FINAS, Jabatan Kimia, Yayasan Negeri Sarawak, CRAUN, Arkib Negeri Sarawak serta MARDI.
“Saya berharap program ini akan terus dilaksanakan bagi membudayakan semangat gotong-royong dalam kalangan warga kerja serta menyemarakkan nilai keprihatinan sosial.
Selain itu, kami juga ingin memastikan manfaatnya dapat diperluaskan kepada lebih ramai penerima pada masa depan,” katanya.
Di samping itu, ujarnya, program yang mendapat kerjasama Persatuan Islam Lembaga Getah Malaysia Wilayah Sarawak ini mendapat sambutan menggalakkan daripada warga kerja dan bakal dijadikan acara tahunan dengan skala lebih besar pada masa akan datang.
Bagi meningkatkan lagi nilai rohaniah program, LGM merancang untuk menambah pengisian aktiviti seperti ceramah agama dan sesi tazkirah dalam penganjuran pada tahun hadapan.
Langkah ini diharap dapat menghidupkan lagi semangat Ramadan dalam kalangan warga kerja dan penerima manfaat.
Bagi memastikan kejayaan program ini, LGM bercadang untuk berkolaborasi dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta bagi memperluaskan impaknya.
“Kami percaya bahawa program kebajikan seperti ini dapat memberi manfaat yang lebih besar jika mendapat sokongan lebih ramai pihak
“Oleh itu, kami mengalualukan penyertaan daripada mana-mana organisasi yang ingin bersama-sama menjayakan inisiatif ini,” tambah beliau ketika ditemu bual Suara Sarawak.
INFAK RAMADAN LGM
Justeru, LGM berhasrat untuk terus memperkasakan program ini dengan lebih banyak penyertaan dan sumbangan pada masa akan datang.
Dengan semangat kerjasama serta keprihatinan yang ditunjukkan, diharapkan program ini bukan sahaja dapat membantu golongan memerlukan, tetapi juga menjadi platform untuk membentuk masyarakat yang lebih prihatin dan penyayang.
Dalam pada itu, Pengerusi Program, Shahibul Abu Bakar berkata, seramai 15 kakitangan LGM berganding bahu sejak awal pagi bagi memastikan bubur lambuk dapat disediakan dengan sempurna.
“Sebanyak 30 kilogram daging dan lebih RM2,000 peruntukan digunakan untuk memasak bubur lambuk ini.
Tambahan pula, 30 kilogram limau turut diagihkan, yang merupakan sumbangan peribadi daripada Ismail Ibrahim sendiri.
“Penyediaan acar limau dan resipi diketuai Norupiah Putit manakala penyediaan bubur lambuk pula diketuai Nur Amirah Rafaie” katanya.
Selain agihan makanan, infak khas kepada beberapa asnaf di kampung sekitar Kuching turut dilaksanakan sebagai sebahagian daripada inisiatif kebajikan Ramadan.
Tahun lalu, program ini berjaya memberikan infak kepada lebih 100 asnaf dan dijangka terus berkembang dari tahun ke tahun.
Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, tetapi juga peluang untuk berkongsi rezeki serta memperkukuh ukhuwah dalam komuniti.
Melalui inisiatif seperti Agihan Bubur Lambuk, LGM membuktikan nilai kemanusiaan dan kebersamaan dapat terus diperkukuhkan dalam kalangan masyarakat.



