Konsisten santuni isu rakyat

KUCHING: Pusat Khidmat Parlimen Petra Jaya menyumbang barangan keperluan asas, kerusi roda, tilam gelembung serta kewangan bagi mengurangkan beban dihadapi golongan yang memerlukan di kawasan Dun Satok.

Pusat Khidmat Parlimen Petra Jaya dalam satu kenyataan berkatam sumbangan tersebut disampaikan oleh Morshidi Said dan Naz-Ismadiee Khalit mewakili Menteri Kanan Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Timbalan Ketua Cawangan PBB Satok Datuk Ibrahim Baki; Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdul Samad Gany; Naib Ketua Cawangan PBB Satok Helmi Othman; Penolong Setiausaha Cawangan PBB Satok Azmi Hipni; Pengerusi Pusat Aktiviti Warga Emas Pemanca Rosli Sahari turut hadir.

“Setiap minggu, tidak kira hujan atau panas, pasukan kebajikan Petra Jaya tetap turun padang ke kawasan ketiga-tiga Dun iaitu Tupong, Semariang dan Satok bagi menyantuni warga Petra Jaya tidak kira bangsa, agama dan latar belakang serta parti politik.

“Apa-apa juga bantuan yang diperlukan akan diberikan dengan segera tanpa kerenah birokrasi. Ini selari dengan slogan Datuk Seri Fadillah sendiri iaitu rakyat disantuni dan isu ditangani,” kata kenyataan itu dalam satu catatan Facebook Media Satok, pada Ahad.

Pusat Khidmat Petra Jaya telah menyumbang tiga kerusi roda di Ranting Sungai Maong yang diterima oleh Ketua Kaum Masni Morri dan Ketua Ranting Sungai Maong Abdul Latip Salleh.

Ranting Muda Hashim Tengah turut menerima seunit kerusi roda dan tilam gelembung yang diterima oleh Ketua Pemuda Ranting Muda Hashim Tengah Mohamad Akram Karim.

Sementara, Ranting Muda Hashim B (Parit Lama) menerima sumbangan kewangan serta barangan asas yang diserahkan kepada Ali Daud.

Dalam hantaran Facebook yang sama, Pusat Khidmat Parlimen Petra Jaya juga telah menyumbangkan tilam gelembung dan lampin pakai buang di Ranting Bandarsah (Haji Mataim) yang diberikan kepada Bujang Abang.

Pusat Khidmat Parlimen Petra Jaya juga menyumbang satu kerusi roda kepada Selviah Adon yang menghidap penyakit  kencing manis di Kampung No. 5.

‘’Pusat Aktiviti Warga Emas Sri Satok pula menerima 20 set barangan keperluan asas. “Sumbangan telah disampaikan kepada Pengerusi Pawe Sri Satok yang kemudian akan diagihkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya dalam hantaran tersebut.

Suara Sarawak