Konspirasi gula ancam kesihatan

RAMAI tidak sedar mengambil gula lebih daripada enam sudu teh sehari seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akhirnya membawa risiko kepada kesihatan pada suatu masa kelak.

Secara amnya, rakyat Malaysia mengambil sekitar 19 sudu teh gula tambahan sehari dengan meminum minuman tiga dalam satu, sarat dengan gula, minuman berkarbonat dan makanan manis seperti gula-gula, ais krim, kuih dan kek.

Banyak produk yang mendakwa kononnya bebas gula namun sebenarnya mengandungi gula tersembunyi yang menggunakan nama yang jarang kita dengari. Ada juga produk yang mengunakan motto ‘cergas dan sihat’, walhal mengandungi kandungan gula yang terlalu tinggi.

Sebelum ini, kajian jurnal Persatuan Perubatan Amerika berjaya membongkar konspirasi gula yang dilakukan oleh syarikat gergasi sebelum ini.

Dilaporkan AS$50 ribu disogok kepada penyelidik untuk melakukan kajian berat sebelah dengan hanya mengaitkan lemak dan kolestrol memberi risiko penyakit jantung tanpa menunjukkan potensi gula yang turut menyumbang kepada risiko itu. Pada 1967, sebarang kajian yang dijalankan tidak perlu mendedahkan sumber pembiayaannya.

Oleh itu terdapat beberapa syarikat besar yang pernah membiayai penyelidik untuk menyebarkan propaganda bahawa kolesetrol itu bahaya berbanding gula. Akibatnya, Kerajaan Amerika Syarikat (AS) mewujudkan garis panduan pemakanan untuk mengurangkan pengambilan lemak tepu dalam makanan.

Manakala gula pula tidak disebut dalam risiko dan hanya dinyatakan menyebabkan kerosakan pada gigi. Bagaimanapun akhirnya semua perkara itu terbongkar apabila satu kajian terbaharu menunjukkan gula turut menjadi punca kepada penyakit jantung.

Disebabkan penemuan itu, Kerajaan AS mula menukar polisi dan mewajibkan setiap produk menunjukkan label makanan yang menunjukkan kandungan gula. Selain itu, cukai tinggi turut dikenakan terhadap minuman berkarbonat tinggi. Jika kita lihat Singapura, negara ini sudah mengambil langkah proaktif dan menjadi pertama di dunia mengharamkan iklan minuman yang memiliki kandungan gula sangat tinggi pada tahun lalu.

Manakala minuman yang memiliki kandungan gula sederhana dan tinggi dikehendaki meletakkan label di bahagian depan pek untuk memberi amaran kepada pengguna. Label itu turut diberikan kod warna dan menunjukkan satu gred bagi menyatakan sama ada minuman itu sihat, neutral atau tidak sihat.

Langkah itu adalah antara usaha negara tersebut memerangi diabetes, isu kesihatan semasa yang serius. Di negara kita, pada zaman pemerintahan BN, kita lihat usaha kerajaan memansuhkan subsidi gula sebanyak 35 sen yang menjadi kritikan ramai, manakala zaman PH mengenakan cukai sekitar 40 sen seliter.

Ramai yang tidak sedar, di sebalik kenaikan harga atau cukai gula ini sebenarnya tersembunyi kebaikan yang tidak ternilai sekiranya anda memandangnya dari sudut positif. Malaysia dinobatkan sebagai penduduk tergemuk di Asia. Itu adalah perkara yang disahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sendiri sempena Hari Diabetis Sedunia pada tahun lalu.

Menurut KKM, satu daripada lima kanak-kanak bawah 5 tahun mempunyai berat berlebihan. Manakala satu daripada tiga dewasa mempunyai berat berlebihan. Justeru jika tiada penyelesaian dilakukan, Malaysia akan menjadi negara tergemuk dunia menjelang 2025.

Sebagai pengguna bijak, masyarakat perlu sedar akan risiko dan ancaman gula, jadi gunakan kuasa kita sebagai pembeli. Usah terpedaya akan syarikat yang mempromosi minuman tenaga, iklan advokasi hidup aktif sukan serta menggunakan ikon terkenal seperti artis untuk mempromosi produk tersebut.

Sayangi keluarga anda kerana kita semua berhak untuk sihat dan menghindari gula mampu menghentikan obesiti yang berlebihan. Tidak dinafikan makanan dan minuman bergula sangat sedap namun jika kita mengambil secara berlebihan, besar akibat dan risikonya.

Adalah baik untuk menjaga makan sebelum jatuh sakit berbanding terpaksa menjaga makan sesudah sakit. Oleh itu, amat penting kita belajar cara membaca label makanan untuk mengenal pasti gula tersembunyi dan tambahan yang terkandung di dalam makanan berbungkus.

Salah satu cara adalah dengan merujuk jumlah gula pada panel nutrisi (NIP) setiap poduk makanan dan minuman. Namun kita juga harus berjaga-jaga akuan label yang mengatakan rendah gula atau bebas gula, kerana ia mungkin mengandungi gula tambahan yang lebih tinggi.

Contohnya seperti Dextrose, Galactose, Glucose, Lactose, Maltose, Xylose dan Dextrose. Mengurangkan pengambilan makanan dan minuman bergula adalah langkah penting untuk kita hidup lebih sihat. Harus diingat, penyakit tidak berjangkit ini tidak memilih mangsa dan mampu menimpa sesiapa sahaja tanpa mengira umur, jantina atau etnik.

Suara Sarawak