ARTIKEL

Sebuah kontena dengan muatan rokok disyaki tidak berkastam di kawasan lapang terbiar di Kawasan Perindustrian Eastwood berjaya dirampas oleh JKM Sarawak

Kontena mengandungi 1,091,600 batang rokok tidak berkastam berjaya disita

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya menyita sebuah kontena dengan muatan rokok pelbagai jenama sebanyak 1,091,600 batang rokok disyaki barang tidak berkastam di kawasan lapang terbiar di Kawasan Perindustrian Eastwood pada 14 Ogos lalu.

Jumlah anggaran nilai barang adalah termasuk duti dan cukai bernilai RM842,212.40.

Pengarah Kastam Negeri Sarawak Norizan Yahya berkata, rampasan dilaksanakan oleh sepasukan Unit Operasi Darat Miri semasa membuat pemeriksaan rapi di sebuah syarikat kurier kira-kira jam 11.30 pagi dan seterusnya membuat rondaan di sekitar Perindustrian Eastwood.

“Rondaan kemudiannya membawa kepada penemuan sebuah kontena berukuran 20 kaki dalam keadaan berkunci dan diletakkan di kawasan lapang terbiar.

“Pemantauan dibuat ke atas kontena berkenaan namun tiada kelibat pemilik barang di lokasi berkenaan.

“Beberapa orang awam ketika ditanya juga tidak menyedari kewujudan kontena tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pasukan serbuan telah menunggu hampir satu jam namun tiada individu yang tampil mengaku sebagai pemilik barang-barang tersebut.

“Hasil pemeriksaan rapi telah membawa kepada penemuan rokok putih dan rokok kretek sebanyak 1,091,600 batang rokok yang disyaki tak berkastam.

“Jumlah barang yang disita adalah sebanyak 1,091,600 batang rokok dan sebuah kontena dengan anggaran nilai sebanyak RM111,324 dan jumlah duti dan cukai yang terlibat dianggarkan sebanyak RM730,888.40.

“Jumlah nilai keseluruhan barangan termasuk duti dan cukai adalah sebanyak RM842,212.40,” ujarnya.

Sementara itu, Norizan berkata, modus operandi sindiket ini adalah menyimpan rokok tidak berkastam di dalam kontena dan meletakkan di kawasan lapang bagi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 di mana jika sabit kesalahan pesalah boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

Sehubungan itu, Norizan menggesa orang ramai membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

Jelasnya, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

BERITA LAIN

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan

Wilfred cadang laluan PR untuk pakar strategik Sarawak

KUCHING: Laluan taraf pemastautin tetap (PR) khusus bagi tenaga pakar strategik dicadangkan untuk menarik kepakaran antarabangsa dalam industri utama Sarawak, termasuk hidrogen hijau, kecerdasan buatan

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha