KUCHING: Kontraktor yang diamanahkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melaksanakan projek Kerajaan Sarawak diharap dapat melakukannya dengan cekap dan siap sepenuhnya mengikut jadual.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia adalah tanggungjawab JKR menentukan projek dilaksanakan tidak mengecewakan rakyat.
“Jika projek gagal disiapkan ia akan menghampakan mereka.

Oleh itu, kita perlu berbincang menyusun langkah bersama semua agensi terlibat seperti pihak kontraktor, konsultan dan agensi kerajaan.
“Selain itu, kontraktor yang gagal melaksanakan projek adalah satu kesalahan dan tindakan akan diambil seperti disenarai hitam daripada mengikuti projek kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Penutupan Seminar Inisiatif Baharu untuk Meningkatkan Industri Pembinaan Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Tambah beliau, seminar yang diadakan merupakan permulaan baharu kepada peserta dan industri di negeri ini memandangkan Kerajaan Persekutuan telah mengamanahkan kita melaksanakan projek di bawah RM50 juta.
Tegasnya adalah penting untuk menyiapkan projek dengan berkualiti tinggi serta siap mengikut jadual selain berharap agar bajet dapat ditingkatkan daripada jumlah yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan sekiranya melaksanakan projek dengan baik.
Sementara itu, dalam ucapanya sebanyak 215 projek bernilai RM28 bilion sedang dilaksanakan oleh JKR tidak termasuk Projek Tranformasi Luar Bandar.
Namun demikian, 34 daripada jumlah itu dikategorikan sebagai projek sakit kerana ditangguhkan disebabkan pelbagai isu yang dihadapi dalam pelaksanaan.
“Bagi menambah baik penyampaian projek, JKR telah memperkenalkan Ikrar atau ‘Aku Janji Sebulan Boleh Diserahkan’.
“Setelah pemilikan tapak, kontraktor harus mematuhi semua keperluan mandatori dan kualiti dengan memulakan kerja pembinaan dengan cekap seperti yang ditetapkan dalam Ikrar Boleh Diserahkan Sebulan,” tegasnya.



