BINTULU: Seorang kontraktor berputih mata apabila kerugian RM1,200,000 selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan saham tidak wujud pada pertengahan Jun lalu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, lelaki berusia 60-an itu menerima pesanan ringkas daripada individu tidak dikenali yang memperkenalkan diri daripada sebuah syarikat pelaburan.
“Suspek menawarkan khidmat rundingan penjualan dan pembelian saham yang menjanjikan kadar faedah tinggi kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Mancha, mangsa yang tertarik dengan tawaran itu berurusan dengan suspek melalui aplikasi Whatsapp dan memberikan maklumat peribadi kepada suspek untuk mendaftar dalam pelaburan tersebut.
Dalam kejadian ini, mangsa yang terpedaya melakukan beberapa transaksi wang secara berperingkat menerusi aplikasi ‘l-trader max’ berjumlah lebih kurang RM1,200,000.
“Mangsa menyedari dirinya ditipu apabila masih belum menerima sebarang pulangan keuntungan daripada pelaburan tersebut,” katanya.
Beliau kemudian menasihati orang ramai supaya hanya melabur di platform yang betul dan bedaftar dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Orang ramai juga dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat kewangan daripada ejen yang berdaftar sahaja tentang sesuatu pelaburan, tambahnya.
“Jangan sesekali menekan pautan atau memuat turun android package kit (apk) yang tidak diketahui kesahihannya,” katanya.


