ARTIKEL

Koperasi buka peluang keusahawanan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyasarkan kehadiran lebih 10,000 pengunjung pada sambutan Hari Koperasi Negara 2026 (HKN’26) yang dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 5 Julai ini.

Pengerusi SKM Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata, penganjuran edisi kali ini yang diadakan di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth, Pulau Pinang direka dengan pendekatan lebih segar, inklusif serta mesra rakyat bagi memperlihatkan peranan gerakan itu sebagai pemangkin ekonomi komuniti.

“Koperasi bukan hanya satu gerakan yang memacu pertumbuhan ekonomi tetapi inilah antara gerakan yang boleh memacu kesepaduan rakyat,” katanya pada majlis prapelancaran HKN’26 di Menara SKM di sini.

Beliau turut menggalakkan penyertaan golongan belia bagi melihat sendiri gerakan koperasi yang mampu membuka peluang dalam bidang keusahawanan, ekonomi dan pembangunan komuniti.

Sementara itu, SKM dalam kenyataan memaklumkan acara kemuncak HKN’26 pada 4 Julai dijangka dirasmikan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow serta dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim.

Menurut SKM, dua anugerah khas baharu diperkenalkan pada acara kemuncak, iaitu Anugerah Khas Menteri: Koperasi Lestari dan Anugerah Khas Menteri: Koperasi Komuniti, yang bertujuan memberi pengiktirafan kepada koperasi yang sedang berkembang pesat serta menunjukkan potensi besar menjadi peneraju dalam sektor masing-masing.

Bertemakan ‘Koperasi Memperkasa Komuniti, Membina Negara MADANI’, karnival tiga hari itu tampil dengan skala lebih besar menerusi penyertaan 150 reruai jualan dan pameran yang melibatkan sektor ekonomi, pendidikan, teknologi, pelancongan, makanan, keusahawanan dan perkhidmatan awam.

Menurut SKM, pelbagai reruai gerakan koperasi akan menjadi tunjang utama pameran, antaranya Pavilion Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bersama sembilan agensinya serta Pavilion SKM yang menawarkan khidmat nasihat, kemudahan geran dan pembiayaan.

HKN’26 juga dimeriahkan dengan empat reruai khas Jualan MADANI Koperasi yang menawarkan penjimatan sehingga 40 peratus bagi pelbagai barangan keperluan asas dan produk koperasi. – Bernama

BERITA LAIN

Geran pemula bantu usahawan muda Sarawak

KUCHING: Usahawan belia di Sarawak berpeluang memohon geran sehingga RM15,000 menerusi Geran SYStartUP bagi membantu menampung kos permulaan dan pembangunan perniagaan masing-masing. Timbalan Menteri Belia,

BERITA TERBARU