ARTIKEL

RAKAM KENANGAN…Malcolm merakam kenangan bersama yang lain dalam majlis tersebut.

Koperasi perlu melangkah lebih jauh dalam sektor ekopelancongan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Gerakan koperasi perlu melangkah lebih jauh daripada model perniagaan tradisional dengan memanfaatkan peluang dalam sektor ekopelancongan melalui kerjasama yang lebih strategik dan bersepadu.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sektor pelancongan merupakan antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara kerana bukan sahaja menjana pendapatan, malah mewujudkan peluang pekerjaan, menarik pelaburan serta merancakkan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana.

Menurutnya, sektor itu turut memberi limpahan manfaat kepada sektor pengangkutan, hospitaliti, pertanian, kraftangan dan ekonomi komuniti.

“Selepas pandemik COVID-19, Malaysia berjaya memulihkan industri pelancongan dengan pantas dan pada tahun 2025, negara merekodkan lebih 42.19 juta ketibaan pelawat antarabangsa.

“Bagi suku pertama tahun 2026 pula, sebanyak 10.65 juta pelawat direkodkan, meningkat 5.4 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Program Bicara Ilmu: EkoPelancongan Koperasi: Dari Alam ke Ekonomi Komuniti menerusi teks yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Malcolm menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta yang menyertai Program Bicara Ilmu: Ekopelancongan Koperasi: Dari Alam ke Ekonomi Komuniti, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, landskap pelancongan dunia kini berubah ke arah pelancongan lestari apabila pelancong semakin menghargai destinasi yang memelihara alam sekitar, menghormati warisan budaya serta memberi manfaat secara langsung kepada komuniti setempat.

Ujarnya, selaras dengan Dasar Pelancongan Negara 2020-2030, Malaysia terus memperkukuh pembangunan eko-pelancongan dan pelancongan berasaskan komuniti.

Dalam pada itu, Awang Tengah berkata, sektor pelancongan merupakan antara sektor strategik di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), dengan matlamat menjadikan Sarawak sebagai destinasi ekopelancongan bertaraf antarabangsa melalui penglibatan aktif komuniti dalam memelihara warisan budaya dan khazanah alam.

“Sarawak merekodkan 4.97 juta ketibaan pelawat pada tahun 2025 dengan anggaran hasil pelancongan sebanyak RM12.67 bilion.

“Pencapaian ini membuktikan keyakinan pelancong terhadap Sarawak sebagai destinasi yang selamat, berkualiti dan berdaya saing.

“Namun, kejayaan ini bukan hanya diukur melalui jumlah pelawat atau pulangan ekonomi semata-mata.

“Sarawak mengamalkan pendekatan ‘Responsible Tourism’ iaitu pembangunan yang menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi, pemuliharaan alam sekitar, pemeliharaan warisan budaya dan kesejahteraan komuniti,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Pelan Induk Pelancongan Sarawak 2020-2035 turut memberi penekanan kepada pembangunan ekopelancongan dan pelancongan berasaskan komuniti bagi membolehkan masyarakat menikmati manfaat industri pelancongan melalui inap desa, perusahaan kraftangan, industri kreatif dan pelbagai aktiviti ekonomi setempat.

Malcolm menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta yang menyertai Program Bicara Ilmu: Ekopelancongan Koperasi: Dari Alam ke Ekonomi Komuniti, hari ini.

Jelasnya, Sarawak juga memiliki aset semula jadi bertaraf dunia seperti Taman Negara Gunung Mulu, Niah, Bako, Batang Ai dan Loagan Bunut yang perlu dimanfaatkan secara mampan melalui pemeliharaan biodiversiti, peningkatan kemudahan pelancongan serta usaha mendapatkan pengiktirafan antarabangsa seperti Sarawak Delta UNESCO Global Geopark.

Di samping itu, beliau berkongsi, sehingga kini, terdapat lebih 16,468 koperasi di seluruh negara dengan keanggotaan seramai 7.33 juta orang, aset melebihi RM186.75 bilion dan perolehan tahunan lebih RM81 bilion.

“Angka ini membuktikan bahawa gerakan koperasi mempunyai kekuatan ekonomi yang besar untuk menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

“Antara keutamaan yang perlu diberi perhatian adalah membina rantaian nilai yang lebih kukuh dalam kalangan koperasi supaya koperasi pertanian, pelancongan, peruncitan dan kraftangan saling melengkapi bagi memastikan nilai ekonomi terus beredar dalam komuniti setempat,” jelasnya.

Tambahnya, koperasi juga perlu memanfaatkan teknologi digital, memperkukuh pemasaran dalam talian, menyediakan kemudahan pembayaran tanpa tunai seperti SPAY Global serta mengaplikasikan sistem pengurusan data pelawat yang lebih sistematik bagi meningkatkan kecekapan operasi dan pengalaman pelawat.

BERITA LAIN

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan

Wilfred cadang laluan PR untuk pakar strategik Sarawak

KUCHING: Laluan taraf pemastautin tetap (PR) khusus bagi tenaga pakar strategik dicadangkan untuk menarik kepakaran antarabangsa dalam industri utama Sarawak, termasuk hidrogen hijau, kecerdasan buatan

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha