Koronavirus: WHO isytihar darurat kesihatan awam

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan darurat kesihatan awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan 2019 novel koronavirus (2019-nCoV).

Pengisytiharan itu dibuat dalam sidang media mengenai Mesyuarat Jawatankuasa Kecemasan yang berlangsung di Geneva, hari ini.

Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata perkara yang amat membimbangkan adalah potensi virus itu merebak ke negara yang mempunyai sistem kesihatan yang lemah dan tidak bersedia menghadapinya.

“Sebab utama pengisytiharan ini bukan kerana situasi di China, tetapi kerana negara lain.

“Terdapat 98 kes di 18 negara di luar China, termasuk lapan kes jangkitan manusia ke manusia di empat negara iaitu Jerman, Jepun, Vietnam dan Amerika Syarikat (AS),” katanya dalam video yang dikongsi menerusi Twitter rasmi WHO.

Berdasarkan data terkini, ketika ini terdapat 7,834 kes 2019-nCoV yang disahkan termasuk 7,736 jangkitan di China dengan 170 orang meninggal dunia di republik itu.

“Setakat ini tiada kematian dilaporkan di luar China dan kita semua perlu bersyukur. Walaupun jumlah itu masih kecil berbanding jumlah kes di China, kita semua perlu bekerjasama untuk mengehadkan penularan penyakit itu,” katanya.

Novel koronavirus mula dikesan pada Disember di Wuhan, China yang menyebabkan radang paru-paru dan gejala lain seperti demam, batuk dan kesukaran bernafas. Setakat semalam, Malaysia mempunyai lapan kes jangkitan yang disahkan.

Suara Sarawak