PERCERAIAN dalam rumah tangga sudah pastinya sesuatu yang paling tidak diinginkan selepas membina mahligai perkahwinan.
Ia bukan sahaja memberi kesan buruk kepada pasangan, malah membabitkan psikologi anak-anak dan kedua-dua belah keluarga.
Lebih parah sekiranya perceraian itu berlaku dalam keadaan yang tidak harmoni, tanpa sokongan serta kes berlarutan untuk tempoh yang panjang kerana tiada kata sepakat penyelesaian antara kedua-dua belah pihak.
Tetapi, tahukah anda satu kes perceraian berlaku setiap 10 minit di Malaysia setakat 2014, dan kadar perceraian pada tahun 2019 meningkat 12 peratus dengan 56,975 kes berbanding 50,862 kes pada tahun sebelumnya.
Di Sarawak pula, kes penceraian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari Mac 2020 hingga September 2021 mencecah lebih 5,000 kes.
Ia termasuk 3,582 kes pasangan Islam, manakala 2,076 kes pasangan bukan Islam.
Ironinya, terdapat banyak punca kes-kes penceraian berlaku antaranya melibatkan hal remeh, salah faham, penagihan dadah, kecurangan, masalah kewangan, sikap panas baran dan tekanan perasaan.
Dengan kadar perceraian yang semakin meningkat, penting untuk semua mengetahui kos yang terbabit dan juga hak individu.
Penceraian ini bukan hanya melibatkan emosi tetapi juga keperluan kewangan.
Daripada yuran guaman kepada alimoni sehinggalah jumlah perbelanjaan lain yang terpaksa dikeluarkan hanya untuk memfailkan penceraian.
Terdapat banyak kos yang terlibat sehingga susah untuk buat anggaran.
Contohnya, jumlah permohonan petisyen penceraian yang difailkan, pemilihan peguam, tempoh prosiding mahkamah, jenis kes dan sebagainya akan menjejaskan kos yang perlu ditanggung oleh pasangan.
Berdasarkan semakan, kes penceraian yang mempunyai persetujuan bersama lebih murah iaitu sekitar RM3,000 hingga RM6,000 dan boleh selesai dalam tempoh kurang enam bulan.
Tetapi, kes penceraian tanpa persetujuan salah seorang pasangan atau mempunyai isu-isu berkaitan adalah sangat mahal, sehingga mencecah kos RM5,000 hingga RM50,000. Malah ia boleh memakan masa bertahun-tahun.
Siapakah yang lebih terkesan? Sudah tentu golongan wanita terutama mereka yang selama ini tidak bekerja dan bergantung kepada suami.
Bagi yang kurang mampu, kerajaan ada menyediakan bantuan melalui Jabatan Bantuan Guaman (JBG) Malaysia.
Namun ia bukan percuma ya, masih perlu membayar khidmat guaman pada kadar yang telah disubsidikan serta mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Malah, disebabkan kes penceraian yang berlambak ini, untuk mendapatkan bantuan jabatan tersebut sudah tentu perlu menunggu lebih lama.
Bimbang dengan perkara tersebut, Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak (MWKS) melihat perlunya untuk menyediakan bantuan guaman kepada wanita yang dalam proses penceraian termasuk mangsa keganasan rumah tangga.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, jumlah kes penceraian yang banyak di negeri ini menyebabkan JBG mengambil masa lama untuk mengendalikan satu-satu kes.
“Disebabkan banyak kes penceraian, ada yang tidak berpeluang mendapatkan bantuan disediakan JBG.
Oleh itu, kita melihat ada keperluan untuk menawarkan bantuan ini kepada kumpulan sasaran dan perkara ini antara lapan perkara dibincangkan dalam mesyuarat MWKS,” katanya.
Fatimah berkata, bantuan bersifat sekali beri itu termasuk menyediakan kewangan, tempat tinggal serta pengangkutan terutama mereka datang dari luar bandar.
Beliau menambah, bantuan tersebut tidak hanya diberikan kepada wanita yang mendaftar perkahwinan secara sivil dan syariah tetapi diperluaskan kepada kes-kes perkahwinan atau penceraian di bawah undangundang adat (Mahkamah Adat).
Bantuan tersebut sudah tentu memberi sedikit kelegaan kepada golongan wanita yang sedang berdepan dengan krisis hidup tersebut.
Diharap ia dapat segera dilaksanakan demi membela nasib-nasib golongan ini.
Memang kalau boleh, penceraian ini perkara yang paling hendak dielakkan.
Tetapi apabila ia tidak dapat lagi dipertahankan sehingga menyebabkan kesengsaraan hidup.
Penceraian adalah jalan terakhir.
Kesimpulannya, kos penceraian boleh mencecah lebih daripada kos perkahwinan.
Antara cara untuk mengurangkan kos perceraian adalah dengan wujudkan Perjanjian Sebelum Pernikahan.
Perjanjian ini adalah sebuah kontrak bertulis yang menerangkan pemilikan/ pembahagian harta, termasuklah perjanjian-perjanjian lain.
Mungkin kelihatan mengarut tetapi sebenarnya kita tidak tahu apa-apa yang akan berlaku pada masa hadapan.
Tetapi perjanjian ini boleh mengurangkan pembaziran masa dan kos perbelanjaan kalau berlaku penceraian.






