ARTIKEL

Impian kahwin tertangguh tuntut persediaan kukuhkan ekonomi.

Kos sara hidup, pekerjaan tidak menentu tangguh impian kahwin

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Impian membina keluarga semakin tertangguh apabila ramai golongan muda kini berdepan realiti kos sara hidup meningkat, pekerjaan tidak menentu dan usaha mencapai kestabilan kewangan sebelum berkahwin.

Menurut Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), tekanan ekonomi, ketidakpadanan pekerjaan serta cabaran membina kerjaya dikenal pasti antara faktor yang mendorong sebahagian golongan muda menangguhkan perkahwinan.

Pengarah Bahagian Penyelidikan, Kependudukan dan Keluarga LPPKN, Adzmel Mahmud berkata, golongan ini memerlukan sokongan berterusan daripada kerajaan, majikan, institusi pendidikan dan keluarga bagi membantu mereka merealisasikan impian membina keluarga.

Beliau berkata trend peningkatan usia perkahwinan perlu diberi perhatian kerana ia boleh memberi kesan ke atas struktur penduduk negara dalam jangka panjang.

“Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), purata umur perkahwinan pada 2024 ialah 31 tahun bagi lelaki dan 29 tahun bagi wanita, menunjukkan peningkatan berbanding dekad terdahulu.

“Keadaan itu menyebabkan tempoh reproduktif menjadi lebih singkat dan boleh menjejaskan bilangan kelahiran pada masa depan,” katanya dalam podcast Kasih Lensa Keluarga Musim Kedua sempena Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2026.

Adzmel berkata hakikatnya ramai golongan muda masih mempunyai keinginan untuk berkahwin, namun terpaksa menangguhkan hasrat itu berikutan kekangan ekonomi selain mahu memastikan kestabilan pekerjaan dan pendapatan terlebih dahulu.

“Kesejahteraan mental, fizikal dan sosial turut memainkan peranan penting dalam membantu golongan muda membuat keputusan berkaitan kerjaya, perkahwinan serta pembentukan keluarga,” katanya.

Dari sudut pekerjaan pula, Adzmel berkata antara cabaran utama yang dihadapi golongan muda ialah ketidakpadanan antara kelayakan akademik dengan keperluan pasaran kerja.

Katanya, keadaan itu menyukarkan sebahagian mereka memperoleh pekerjaan yang bersesuaian dengan kemahiran serta pendapatan yang diharapkan.

Beliau berkata ada dalam kalangan golongan muda terpaksa melakukan lebih daripada satu pekerjaan bagi menampung keperluan hidup, yang akhirnya boleh memberi kesan ke atas kesihatan fizikal dan mental.

Sementara itu, Adzmel berkata pelaburan terhadap golongan muda perlu diperkukuhkan bagi memastikan mereka mendapat akses kepada pendidikan berkualiti, pekerjaan yang baik, kesihatan optimum serta peluang untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

Beliau berkata golongan muda berusia antara 15 hingga 30 tahun di Malaysia dianggarkan berjumlah kira-kira sembilan juta orang atau 26 peratus daripada keseluruhan penduduk negara.

Bagi membantu golongan muda membuat persediaan ke arah kehidupan berkeluarga, beliau berkata LPPKN menyediakan pelbagai inisiatif termasuk Program Smart Start Praperkahwinan, Program Bantuan Rawatan Kesuburan, pendidikan kesihatan reproduktif serta perkhidmatan kaunseling keluarga dan perkahwinan.

Beliau berkata usaha memastikan golongan muda dapat membina keluarga pada masa yang sesuai memerlukan komitmen semua pihak melalui penyediaan peluang pekerjaan berkualiti, persekitaran kerja lebih fleksibel, kemudahan sokongan kepada ibu bapa bekerja serta pembangunan kemahiran yang selari dengan keperluan industri.

Hari Penduduk Sedunia 2026 yang disambut pada 11 Julai bertemakan ‘Merealisasikan Harapan dan Aspirasi Golongan Muda: Hari Ini dan Masa Hadapan’, mencerminkan kepentingan melabur dalam pembangunan golongan muda agar mereka mampu mencapai cita-cita, membina keluarga dan menyumbang kepada pembangunan negara.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU