KEMBARA menelusuri Kota Fayyum bukan sahaja mengingatkan kita kisah Qarun, tetapi ia juga mengingatkan kisah beberapa ratus tahun sebelum kisah Nabi Musa dan Qarun iaitu Nabi Yusuf AS.
Kisah Nabi Yusuf AS di Mesir juga tidak kurang pentingnya dan legasinya dapat dilihat di Kota Fayyum sehinga hari ini.
Kota Fayyum sebuah kota subur dengan pengairan yang sangat baik sejak zaman Nabi Yusuf.
Nabi Yusuf pernah diangkat sebagai salah seorang wazir.
Baginda diamanahkan membantu Raja Mesir menyelenggara pemerintahan dan pengurusan negara yang diramalkan menghadapi masa sukar.
Baginda secara khusus diberi kuasa di bahagian perbendaharaan untuk mengawal kewangan dan bekalan makanan.
Dengan izin Allah negara Mesir menjadi makmur dan rakyat hidup dengan aman dan sejahtera sekalipun menghadapi musim kemarau yang panjang.
Nabi Yusuf AS tinggal di Mesir sehingga wafat ketika berumur 110 tahun.
Namun, jasadnya dibawa keluar dari Mesir untuk dimakam di Palestin, di Kota al-Khalil atau Hebron.
Asalnya Fayyum dataran kering meskipun direntasi Sungai Nil.
GUDANG AIR
Antara usaha Nabi Yusuf AS menyelamatkan negara Mesir pada waktu itu ialah membina tali air yang mengairi kawasan tebing Sungai Nil di Kota Fayyum hari ini.
Dikatakan tiga buah tali air dibina di bahagian barat, timur dan hulu sungai Nil.
Sebanyak 360 kampung didirikan dan sebahagiannya masih boleh dilihat hari ini.
Pembinaan tali air ini mengambil masa 70 hari sahaja.
Selain itu, beberapa mata air juga yang besar dan bersih ditemui dan dibangunkan.
Kota Fayyum kekal sebagai kota yang paling banyak airnya di Mesir sehingga digelar ‘Makhzan al-Maa’ bermaksud gudang air.
Usaha Nabi Yusuf AS bukan sahaja menyelamatkan penduduk Mesir, tetapi juga penduduk wilayah berjiran seperti Syria, Palestin dan Semenanjung tanah Arab.
Nabi Yusuf AS dianggap sebagai jurutera terulung dalam sejarah.
Fayyum ialah kota yang sangat subur dan menjadi daerah pertanian utama mengeluarkan hasil padi.
Kami terkejut melihat pemandangan saujana kehijauan seolah-olah berada di tanah air sendiri.
Kita dapat melihat hamparan rumput yang menghijau diselang-seli pelbagai jenis tanaman.
Hari ini berbagai-bagai tanaman juga hidup subur sama ada tanaman seperti padi, gandum dan barli, tetapi juga pelbagai buah-buahan seperti mangga, anggur, limau, strawberi dan lain-lain.
Begitu juga pelbagai jenis sayur seperti kubis, tomato, kacang bendi, bawang dan sebagainya.
Kami bersyukur kerana dapat melihat sendiri kemajuan pertanian di Kota Fayyum yang menjadi bukti betapa negara Mesir meskipun sebahagian besarnya merupakan padang pasir, tetapi mampu menjadi negara pertanian yang mandiri.
Kami berkesempatan merasa keenakan ubi keledek bakar yang dijual penjaja bermotosikal.
Rasanya yang manis dan aroma dibakar cukup enak dan nikmat.
Begitu juga kami sempat merasa sejenis kekacang yang rasanya seperti bijian jagung tetapi kurang manis.
BINAAN NABI YUSUF
Selain itu Kota Fayyum juga dikagumi kerana terusan yang dinamakan terusan Nabi Yusuf yang mengawal banjir pada musim hujan dan menyalurkan air pada musim kering bagi faedah penduduk dan tujuna pertanian.
Kita juga boleh melihat kincir air yang dibina Nabi Yusuf AS di tengah-tengah Kota Fayyum yang turut menjadi lokasi wajib dikunjungi.
Kincir air ini dikatakan digunakan sejak zaman baginda dan terdapat 200 kincir air serupa di sini yang masih lagi beroperasi sehingga sekarang.
Kota Fayyum hanyalah sebahagian kawasan subur di seluruh Mesir.
Penulis difahamkan sepanjang sungai Nil yang mengalir sehingga ke laut Mediterranen, terdapat kawasan lembah subur seperti di Tanta, Mansoura dan Iskandariah.
Ia membuktikan kepada kita kebesaran dan kekuasaan Allah SWT yang boleh sahaja menciptakan dunia yang serba subur meskipun di tengah-tengah dunia padang pasir yang gersang.
Betapa Sungai Nil itu dengan penuh keberkatannya menjadi nadi kehidupan sejak permulaan tamadun manusia di Mesir.



