KUCHING: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengeluarkan garis panduan pelaksanaan larangan penggunaan telefon pintar di sekolah bagi pelajar berumur bawah 16 tahun dalam masa terdekat.
Menurut KPM, ia susulan cadangan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri semalam yang menggariskan beberapa langkah segera bagi menangani isu keselamatan di institusi pendidikan.
“Justeru, KPM akan meneliti garis panduan bersesuaian susulan cadangan pelaksanaan langkah-langkah segera untuk meningkatkan keselamatan di semua institusi pendidikan, termasuk larangan penggunaan telefon pintar di sekolah bagi murid bawah umur 16 tahun.
“Garis panduan akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
KPM berkata, pihaknya menyambut baik semua cadangan yang diberikan termasuk meningkatkan pemantauan pihak polis di semua institusi pendidikan bagi memastikan keselamatan murid, guru dan warga sekolah terus terjamin.
“Pada masa sama, KPM turut menyokong hasrat kerajaan menetapkan had umur 16 tahun bagi penggunaan media sosial.
“Langkah tersebut dilihat penting dalam melindungi kanak-kanak dan remaja daripada pelbagai ancaman siber serta penyalahgunaan platform digital.
“Mekanisme pelaksanaan dasar had umur penggunaan media sosial akan diteliti oleh Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” jelasnya.
KPM turut menegaskan bahawa semua institusi pendidikan di bawah kementerian berkenaan perlu memperkukuh peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti setempat bagi memastikan aspek keselamatan di sekolah dapat dipertingkatkan melalui kerjasama bersama pelbagai pihak.
“Kerjasama semua pihak dan agensi adalah cerminan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuhkan keselamatan di semua institusi pendidikan bawah KPM,” tegasnya.



