ARTIKEL

Fadhlina Sidek

KPM teliti semula SOP aktiviti luar institusi pendidikan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) penganjuran aktiviti luar melibatkan semua institusi di bawah kelolaannya bagi memastikan aspek keselamatan dapat diperkukuhkan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata langkah itu susulan kemalangan yang meragut nyawa dua guru pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis.

“Keadilan perlu ditegakkan untuk keluarga. Siasatan yang telus, tuntas dan menyeluruh sedang berjalan.

“Sebarang pelanggaran peraturan akan dikenakan tindakan dan tiada siapa yang akan dilindungi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, beliau menegaskan pihak kementerian mengambil tanggungjawab penuh terhadap kemalangan yang berlaku ketika Program Pendidikan Luar Kampus berkenaan.

“Beberapa pegawai yang terlibat secara langsung dalam penganjuran program ini akan ditempatkan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis sehingga proses siasatan selesai,” tambahnya.

Terdahulu pada Isnin, beliau hadir ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah bagi memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Christopher Ling Jia Siang, 21, dan Joey Ling Lin Siang, 20.

Beliau yang mewakili kementerian turut mengadakan pertemuan dengan keluarga terdekat kedua-dua mangsa serta menyampaikan ucapan takziah.

Kedua-dua guru pelatih terbabit, yang menuntut dalam tahun kedua Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (Pendidikan Jasmani) IPG Perlis, meninggal dunia akibat lemas ketika berkayak di Pantai Merdeka, Sungai Petani pada Sabtu lalu.

Sementara itu, jasad kedua-dua mendiang dibawa pulang ke Sarawak dengan menaiki penerbangan kargo dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada jam 6 pagi tadi sebelum transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).


Jasad Joey dijadualkan meneruskan penerbangan ke Sibu pada jam 3.45 petang, manakala jasad Christopher pula dibawa pulang ke Kuching.

BERITA LAIN

Politik Semenanjung tidak jejas GPS – Abdul Karim

KUCHING: Pergolakan politik di Semenanjung Malaysia dijangka tidak menjejaskan landskap politik Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13), dengan perpaduan rakyat dan agenda pembangunan

BERITA TERBARU