KUCHING: Pegawai dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah diarahkan untuk menyiasat dakwaan seorang wanita warga emas tidak dilayan dengan baik oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pihaknya akan menyiasat dahulu dakwaan tersebut seperti yang dikatakan dalam media sosial.
“Jadi kita tidak boleh mengambil secara sambil lewa. Kalau betul pegawai kita yang dikatakan biadap, kita perlu menanganinya.
“Tapi setakat ini, oleh kerana kita membaca daripada sosial media, maka elok ianya disiasat supaya kita tidak mendengar sebelah pihak sahaja,” katanya ketika ditemu bual media selepas mengunjungi rumah terbuka Tan Sri Bustari Yusof di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas satu laporan berita yang melaporkan seorang wanita dilayan tidak baik oleh pegawai JKM.
Laporan itu menyebut, wanita tersebut bersama suaminya merempat sebagai gelandangan di Kuala Lumpur sejak November lalu kerana telah diusir anaknya sendiri.
Mengulas lanjut, Nancy berkata, pegawainya telah berjumpa dengan pasangan tersebut pada pagi tadi dan kini menetap sementara di sebuah rumah yang disediakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Katanya, wanita tersebut memaklumkan kepada pegawai kementerian bahawa dia enggan terus menerima bantuan, sebaliknya mahu mencari pendapatan sendiri sebagai pembantu kedai.
Tambahnya lagi, mereka juga enggan ditempatkan di transit Anjung Singgah kerana mahu tinggal berdekatan dengan tempat kerja.
“Dia tidak mahu tinggal di Anjung Singgah kerana di situ tempatnya orang ramai sedikit.
“Jadi Anjung Singgah itu, suaminya tidak mahu tinggal di sana, jadi kami menghormati permohonan pasangan tersebut.
“Memandangkan salah seorang daripada pasangan itu tidak bersetuju, maka kita membantu tawarkan rumah transit,” ujarnya.





