SEPANG: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan meneruskan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak di 300 sekolah dan 30 Pusat Aktiviti Kanak-Kanak di seluruh negara tahun ini.
Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata program itu yang akan bermula pada bulan ini, dilaksanakan sebagai antara usaha memerangi kesalahan seksual dalam kalangan golongan bawah umur.
Beliau berkata kementerian juga akan mempromosikan Talian Kasih dan menggerakkan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) ke sekolah-sekolah terlibat sepanjang berlangsungnya program advokasi itu.
“Mereka (kanak-kanak) mempunyai kaunselor sendiri di sekolah, tetapi mereka tidak mahu bercakap, mungkin kerana malu. Jadi, semasa kita mengadakan program advokasi itu, kita ada pendekatan tertentu untuk mendekati mereka.
“Contohnya, kita minta mereka melukis dan daripada lukisan itu mereka terangkan apa-apa maksud lukisan berkenaan. Dari situ kita dapat melihat apakah yang terkandung dalam jiwa mereka,” katanya kepada media selepas Majlis Raikan Keceriaan Keluarga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini hari ini.
Nancy berkata demikian sebagai mengulas laporan media berhubung peningkatan kes rogol dan sumbang mahram di Kelantan dengan 252 kes dilaporkan tahun lepas berbanding 206 kes pada 2023. – Bernama

RM545 juta perkukuh Internet di Sarawak
KUCHING: Sebanyak RM545 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan fasa pertama Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 di Sarawak, melibatkan hampir 350 lokasi di seluruh negeri. Menteri Komunikasi


