ARTIKEL

Kraf sumber rezeki wanita Debak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DEBAK: Pertumbuhan pesat pekan Debak perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat setempat sebagai peluang memperkukuh ekonomi keluarga, termasuk melalui penghasilan produk kraftangan dan aktiviti ekonomi kreatif.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, perkembangan Debak yang semakin rancak membuka ruang pasaran lebih luas kepada penduduk, khususnya golongan wanita di rumah panjang yang memiliki kemahiran menghasilkan produk tangan berasaskan warisan tempatan.

Menurutnya lagi, kemahiran dan kreativiti masyarakat tidak seharusnya dibiarkan begitu sahaja, sebaliknya perlu diperkasa agar mampu menjadi sumber pendapatan baharu serta membantu meningkatkan taraf ekonomi keluarga.

“Tuntutan kehidupan hari ini semakin mencabar, justeru, masyarakat terutama kaum wanita perlu memanfaatkan kebolehan dan kemahiran yang ada untuk membantu memperkukuh ekonomi keluarga.

“Pelbagai hasil tangan boleh diusahakan dan dikomersialkan. Ambillah peluang daripada perkembangan Debak yang semakin dirasai kerana pertumbuhan sesebuah kawasan turut mewujudkan peluang pasaran yang lebih besar,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas itu berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-11 Biro Wanita Rumah Panjang Sengalang, baru-baru ini.

Jelasnya, pengusaha kraftangan juga perlu berani melakukan pembaharuan dengan memberi nilai tambah terhadap produk sedia ada supaya lebih menarik, berkualiti dan mampu bersaing di pasaran.

Katanya lagi, penggunaan reka bentuk moden, pembungkusan lebih kemas serta pemasaran menerusi platform digital merupakan antara pendekatan yang boleh membantu produk tempatan dikenali dengan lebih meluas.

“Produk tradisional tidak semestinya kekal dengan cara lama.

“Ekoran itu, dengan sentuhan inovasi dan kreativiti, ia boleh diubah menjadi produk bernilai tinggi yang mampu menarik minat pengguna dari luar.

“Selain kraftangan, penduduk rumah panjang juga boleh meneroka peluang dalam sektor pelancongan seperti menyediakan inap desa bagi memberi pengalaman unik kepada pengunjung untuk mengenali kehidupan dan budaya masyarakat rumah panjang,” ujarnya.

Tambahnya, usaha itu amat bersesuaian dengan perkembangan Debak yang kini semakin aktif menganjurkan pelbagai program dan aktiviti yang menarik penyertaan masyarakat dari luar kawasan.

Sehubungan itu, Razi menyeru agensi berkaitan dan komuniti setempat supaya terus memperkukuh kerjasama dalam menyediakan latihan, bimbingan serta sokongan kepada usahawan kecil agar peluang ekonomi yang wujud dapat dimanfaatkan secara optimum.

“Pembangunan sesebuah kawasan bukan sahaja bergantung kepada kemajuan infrastruktur fizikal, tetapi turut memerlukan pembangunan modal insan yang mampu menjadi penggerak utama pertumbuhan ekonomi.

“Masyarakat tempatan tidak seharusnya hanya menjadi pemerhati kepada arus pembangunan, sebaliknya perlu tampil sebagai pemain utama yang mencipta peluang dan menikmati manfaat daripada kemajuan kawasan sendiri,” tegasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Betong Datuk Dr Richard Rapu merakamkan ucapan tahniah kepada jawatankuasa Biro Wanita Rumah Panjang Sengalang atas komitmen berterusan dalam melaksanakan pelbagai aktiviti yang mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuh semangat perpaduan, gotong-royong dan kesejahteraan komuniti.

Beliau berharap Biro Wanita Rumah Panjang Sengalang terus menjadi organisasi yang aktif, progresif dan berdaya saing dalam menganjurkan program yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Kejayaan mencapai usia 11 tahun ini diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak pencapaian dan kejayaan pada masa hadapan,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Politik Semenanjung tidak jejas GPS – Abdul Karim

KUCHING: Pergolakan politik di Semenanjung Malaysia dijangka tidak menjejaskan landskap politik Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13), dengan perpaduan rakyat dan agenda pembangunan